[VIDEO] Hadi Awang rela masuk penjara daripada kena bayar denda


  • Politik
  • Rabu, 13 Sep 2023

Abdul Hadi lebih rela dimasukkan ke penjara berbanding perlu membayar denda jika didapati bersalah susulan ucapannya sebelum ini.

PRESIDEN PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang menegaskan beliau lebih rela dimasukkan ke penjara berbanding perlu membayar denda jika didapati bersalah susulan ucapannya sebelum ini yang didakwa mempertikai kuasa Lembaga Pengampunan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, adalah lebih baik sekiranya wang untuk membayar denda itu disalurkan kepada Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI).

“Saya sedia menunggu untuk dibicarakan di mahkamah, saya sedia dihukum. Tak tahu sama ada penjara atau denda, saya pilih penjara, kalau denda, baik beri pada PASTI.

“Kalau dihukum, saya dah tak layak jadi Ahli Parlimen... akan ada Pilihan Raya Kecil ...Arau (Datuk Seri Shahidan Kassim) boleh bertanding di Marang,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Rabu.

Sebelum ini, media melaporkan kertas siasatan polis berkenaan kenyataan dikeluarkan Abdul Hadi berhubung mempertikaikan kuasa Lembaga Pengampunan sudah diserahkan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Ia susulan kenyataan dalam ceramah di markas parti itu di Bakri, Muar, Johor pada Ogos dan disiasat mengikut Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kertas siasatan yang sudah dilengkapkan itu diserahkan pada 7 September sebelum sebarang tindakan susulan diputuskan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, pihaknya kini sedang menunggu sebarang arahan susulan daripada Pejabat Peguam Negara. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram