Mi kolok, juadah istimewa Sarawak di Terengganu


  • Bizz
  • Selasa, 12 Sep 2023

Muhammad Firdaus Kong Abdullah, 53, menunjukkan makanan tradisional dari Sarawak iaitu mi kolok semasa ditemui di Jalan Panji Alam. — Bernama

RAKYAT Terengganu sinonim dengan pelbagai makanan tradisi seperti nasi dagang, nasi kerabu, keropok lekor dan sebagainya, yang dinikmati tidak kira waktu.

Namun, mungkin ada yang tidak tahu bahawa ramai juga penduduk Terengganu menggemari makanan tradisional dari negeri lain seperti mi kolok yang berasal dari Sarawak.

Perkara itu diakui pemilik kedai makan Warung Saudara Kita, Muhammad Firdaus Kong Abdullah, 53, yang menyajikan mi kolok sebagai sajian istimewa di premisnya yang menerima permintaan tinggi daripada pelanggan yang kebanyakannya terdiri daripada rakyat Terengganu.

"Pelanggan saya bukan sahaja dari Sarawak yang bekerja sebagai askar, polis atau guru yang menetap di sini tetapi ramai juga penduduk tempatan Terengganu yang gemar makan mi kolok terutama pada waktu pagi,” katanya pada Selasa.

Namun, anak jati Sibu, Sarawak yang berhijrah ke Terengganu sejak lapan tahun lepas hanya mampu menyediakan menu istimewa dari Bumi Kenyalang pada hari Sabtu dan Ahad ekoran kekangan masa untuk menyediakan bahan-bahan terutama wantan yang dihidangkan bersama sup.

"Kekangan utama saya untuk sediakan mi kolok setiap hari ialah wantan kerana proses membuatnya rumit dan saya lakukannya sendiri bagi mengekalkan kualiti dan rasanya. Sebenarnya, boleh sahaja saya beli wantan yang dijual dalam bentuk sejuk beku tetapi bagi saya jenis itu mengandungi banyak tepung dan kurang berkualiti.

"Atau saya juga boleh sediakan sup kosong tetapi ramai pelanggan ingin makan mi kolok bersama sup wantan. Saya sendiri pun rasa tidak puas sekiranya hanya hidangkan sup kosong,” katanya yang turut menyajikan mi kolok bersama kicap manis yang dimasak sendiri.

Mi Kolok

Muhammad Firdaus Kong Abdullah,53, menyediakan makanan tradisional dari Sarawak iaitu mi kolok semasa ditemui di Jalan Panji Alam. — Bernama

Selain itu, beliau menghidangkan mi kolok bersama "cili potong”, mengikut cita rasa rakyat Terengganu berbanding di Sarawak yang dinikmati dengan sos cili.

Muhammad Firdaus Kong, turut menyajikan mi kolok bersama menu sampingan lain seperti ayam panggang, ayam goreng dan itik panggang yang dijual antara RM6 hingga RM12.

Saudara baharu berbangsa Cina dan memeluk agama Islam sejak lapan tahun lepas itu berkata, pada Sabtu dan Ahad setiap minggu, beliau berjaya menjual sebanyak 12 kilogram mi kolok di kedainya yang telah beroperasi sejak empat tahun lepas.

Katanya, bekalan mi kolok mentah dibelinya secara borong daripada penjual di Kuala Lumpur dan bekalan lain seperti ayam dan itik dibeli daripada pemborong di Terengganu.

Ditanya mengenai faktor penghijrahannya ke Terengganu, lelaki itu berkata segalanya bermula pada tahun 2015 apabila beliau datang ke Terengganu untuk bekerja di sebuah kedai makan milik individu berbangsa Cina.

"Tetapi bila sampai di Terengganu, tidak sangka saya menerima hidayah daripada Allah untuk memeluk agama Islam. Jadi saya tidak boleh bekerja di kedai milik orang Cina itu kerana menyediakan makanan tidak halal.

"Jadi, saya mengambil keputusan membuka kedai makan sendiri di sini memandangkan saya pun minat memasak sejak kecil,” katanya yang turut menjual hidangan lain seperti nasi ayam, mi goreng, nasi goreng dan char kuetiau.

Sementara itu, pelanggan tetap di Warung Saudara Kita, Muhammad Syafiq Suhaimi, 44, yang berasal dari Kuala Terengganu berkata, beliau menggemari mi kolok di kedai berkenaan kerana keunikan rasa makanan yang ditawarkan.

"Hendak pergi ke Sarawak merasai sendiri mi kolok kita tidak mampu kerana tiket kapal terbang mahal jadi, di sini lah tempat saya makan makanan Sarawak yang unik dan suasana di kedai ini juga tenang untuk kita nikmati makanan,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram