Diserbu di hotel, kisah ex-JDT dan anak coach ditahan berkhalwat ketika sarung jersi Tok Gajah


  • Podium
  • Selasa, 12 Sep 2023

Amirul Hadi dan Mohd Zaiza juga antara wajah utama Pahang dalam kemenangan Piala Malaysia ke atas Kelantan pada 2013. — Agensi

PELBAGAI kontroversi boleh merosakkan nama seorang pemain bola sepak dan antaranya ialah terpalit dengan isu dadah dan dakwaan memukul teman wanita seperti yang berlaku pada pertahanan Sabah FC, Rizal Ghazali pada Jun lalu.

Selain daripada dua isu kontroversi tersebut, bola sepak negara juga pernah digegarkan dengan penahanan dua pemain Pahang kerana disyaki berkhalwat di sebuah hotel di bandar Kuantan pada 11 September 2013.

Berdasarkan laporan media pada 10 tahun lalu, dua pemain yang ketika itu menyarung jersi skuad Tok Gajah ditahan oleh pegawai penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) bersama pasangan masing-masing di bilik berasingan kira-kira pukul 4.30 pagi.

Serbuan ketika itu dilakukan oleh sepasukan pegawai penguatkuasa Jaip hasil maklumat orang awam yang mengesyaki mereka mendaftar masuk bersama pasangan bukan mahram dan badan berkuasa itu terpaksa mengetuk pintu secara berterusan sebelum suspek pertama membukanya.

Difahamkan, hasil pemeriksaan di bilik pertama mendapati seorang pemain Pahang yang dipercayai bermain di posisi tengah pasukan pada musim itu bersama seorang wanita bukan mahram berada dalam bilik berkenaan.

Selepas itu, pemeriksaan di sebuah bilik berdekatan pula mendapati rakannya yang dipercayai merupakan pemain pertahanan Pahang bagi musim 2013 berada bersama seorang wanita sebelum mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat.

Menurut Jaip, siasatan awal sebelum serbuan pada 11 September 2013 itu mendapati kedua-dua pemain yang belum berkahwin tersebut mengaku berkhalwat bersama pasangan masing-masing yang berusia dalam lingkungan 20-an.

Tiga bulan selepas itu, dua identiti pemain Pahang berkenaan akhirnya didedahkan apabila mereka didenda RM1,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah kerana berkhalwat di Hotel Vistana, Kuantan, Pahang pada 10 September lalu.

zaiza

Mohd Zaiza bersama ayahnya, Zainal Abidin. — Agensi

Dua pemain Tok Gajah berkenaan ialah pemain tengah yang pernah menyarung jersi Johor Darul Takzim (JDT), Mohd Amirul Hadi Zainal pada musim Oktober 2013 hingga 2020 dan anak kepada Datuk Zainal Abidin Hassan, Mohd Zaiza Zainal Abidin, ketika kejadian kontroversi tersebut masing-masing berusia 27 tahun serta 23 tahun.

Hakim Syarie, Abdul Wahid Md Ali yang bertugas untuk kes itu menjatuhkan hukuman tersebut terhadap kedua-dua pemain tersebut dan pasangan mereka, Zuraida Muhammad serta Puteri Natalya Nurul Adzween Rosly selepas kesemua mereka mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.

Kesemua mereka didakwa di bawah Seksyen 145 (1) (2) Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram