SELANGOR mencatatkan 1,617 kes pasangan bernikah dan berpoligami tanpa kebenaran sepanjang 2019 hingga tahun lepas.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, jumlah berkenaan adalah sekali ganda berbanding pemohon yang meminta kebenaran untuk bernikah dan berpoligami iaitu sebanyak 859 kes dalam tempoh sama.
Menurutnya, antara punca pasangan memilih untuk bernikah di luar negeri tanpa kebenaran adalah suami yang takut untuk memaklumkan hasrat untuk bernikah dengan wanita lain kepada isterinya selain menganggap prosedur permohonan poligami adalah rumit.
"Prosedur untuk memohon poligami ini mudah sahaja. Kalau pergi ke Jabatan Agama Islam (JAIS), hanya perlu isi borang dan ikut prosedur operasi standard tertentu, tujuannya supaya dia (suami) boleh berlaku adil, mampu dari segi fizikal, kewangan dan kesihatannya.
"Kita tidak boleh menikahi wanita lain tapi dalam masa sama mengabaikan tanggungjawab kepada isteri sedia ada," katanya kepada pemberita selepas Forum Kekeluargaan Undang-undang dan Pencerahan Undang-undang bertajuk 'Poligami: Mengikut Sunnah atau Mencari Rebah' di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz, Selangor pada Selasa.
Abdul Aziz turut memaklumkan tindakan berpoligami tanpa kebenaran ini juga adalah suatu kesalahan di bawah seksyen 124 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.
Malah katanya, pihak yang bersubahat terhadap kesalahan berpoligami tanpa kebenaran juga boleh dikenakan hukuman sama.
Mengulas mengenai isu pembatalan ceramah agama oleh Ustaz Azhar Idrus di Selangor yang pihak masjid mendakwa menghantar permohonan bagi mendapat pengecualian untuk membenarkan penceramah popular itu memberi ceramah.
Beliau berkata, tiada laluan khas untuk mana-mana individu mendapatkan tauliah bagi memberi ceramah agama di negeri ini.
"Mereka ada membuat permohonan untuk minta pengecualian (kepada Ustaz Azhar Idrus), tapi JAIS dengan tegas tidak memberikan pengecualian kepadanya kerana didapati ia tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan JAIS," katanya.
Selain itu, Abdul Aziz turut menggalakkan mana-mana pihak yang ingin mendapatkan tauliah memberi ceramah di Selangor untuk membuat permohonan kepada JAIS.
Beliau berkata, permohonan itu dibuka untuk tempoh empat tahun sekali dan buat masa ini permohonan boleh dibuat secara dalam talian di laman sesawang rasmi JAIS sehingga 31 Mac ini.
Katanya, antara syaratnya ialah pemohon mestilah beragama Islam, berumur 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan dan berakal, bermastautin di Selangor, tidak disabitkan dengan kesalahan jenayah, mempunyai pendidikan di peringkat Empat Sanawi atau setaraf, selain lulus ujian bertulis dan menghadiri sesi temu duga sebelum penilaian dibuat oleh Jawatankuasa Pentauliahan JAIS. — Bernama
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram