PERKAHWINAN poligami bukan satu hal mudah sekiranya suami dan isteri-isteri tidak mencapai kata kesepakatan demi membina sebuah institusi kekeluargaan yang harmoni.
Kejujuran dan sifat adil perlu ada agar tiada hati yang terluka apatah lagi berasa sakit sehingga berasa seperti tersisih.
Memetik babak daripada filem terkenal Indonesia, Ayat-Ayat Cinta 1 yang mana Fahri berusaha untuk menyakinkan Aisha untuk menerima Mariah dalam rumah tangga mereka.
Hal utama yang diketengahkan dalam babak itu ialah ikhlas. Ikhlas dalam menerima segala hal iaitu menerima kehadiran wanita lain yang turut menjadi isteri kepada sang suami.
Perkahwinan poligami memerlukan kesabaran dan tolak ansur agar tidak timbul rasa kurang puas hati.
Begitu besar peranan ikhlas dalam rumah tangga poligami yang tentu sahaja memiliki cabaran tersendiri terutama dalam menyatukan isteri-isteri.
Begitu juga yang diluahkan oleh Perunding Psikologi Keluarga dan Guaman Syarie, Suzana Ghazali terhadap penerima isteri yang dimadukan.
Jelas dinyatakan dalam al-Quran, surah An-Nisa ayat 3: “Dan jika kamu takut tidak dapat berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bila mana kamu mengawininya) maka kawinlah wanita-wanita lain yang kamu senangi, dua tiga atau empat. Kemudian jika kamu takut tidak akan dapat berlaku adil, maka (kahwinlah) seorang saja atau budak-budak yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat kepada tidak berbuat aniaya.”
“Memang dalam al-Quran sendiri ada mengatakan, mana-mana lelaki tidak akan dapat berlaku adil dengan isteri. Tetapi kita juga perlu faham, maksud tidak berlaku adil itu ialah kasih sayang.
Setelah suami berusaha untuk berlaku adil, isteri perlu menyokong agar dapat memelihara keharmonian rumah tangga.
“Bukan seperti membahagikan potongan kek. Kita bercakap soal isteri, sekiranya dia memiliki dua orang isteri, cukup salah satu daripada tidak berasa dipinggirkan,” terangnya.
Dalam konteks itu, isteri juga perlu memainkan peranan untuk menerima takdir TUHAN bahawa perkahwinannya dimadukan dengan wanita lain. Isteri juga perlu tampil membantu suami untuk berlaku adil dengan semua isteri dan tidak pula menyakiti antara satu sama lain.
“Walau dia tahu, cukup sekadar dia menyedari jika suaminya tidak bersama dengannya kerana dia (suami) ada orang lain. Habis setakat itu saja perasaan itu.
“Jangan pula terikut dengan emosi dan mengatakan saya tidak boleh kerana memikirkan dia sedang bersama (hubungan seks) dengan wanita lain. Itu tidak boleh kerana kalau suami sudah berusaha untuk berlaku adil, isteri juga perlu berlapang dada untuk menerima,” terangnya.
Secara kesimpulan, suami perlu jujur dan menjelaskan dengan tulus kepada isteri agar tidak wujud salah faham atau perasaan tidak puas hati. Begitu juga isteri yang cuba untuk memahami dan menerima kehadiran wanita lain dalam rumah tangganya.— Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram