HUKUM merosakkan undi dalam sesuatu pilihan raya dengan sengaja adalah haram, kata bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
Menurut beliau, ia termasuk dalam larangan menyembunyikan kesaksian seperti yang disebut dalam Surah al-Baqarah ayat 283.
"Yusuf al-Qaradhawi pernah mengeluarkan fatwa berdosa bagi sengaja yang tidak mengundi.
"Pengundi yang bakal menunaikan tanggungjawab mereka dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Sabtu dinasihatkan untuk memilih pemimpin yang tidak akan memudaratkan agama Islam dan rakyat secara amnya," katanya menerusi ruangan soal jawab agama yang dimuat naik di ruangan Maktabah al-Bakri pada Jumaat.
Mengulas mengenai calon bukan Islam, Zulkifli menjelaskan bahawa hukum mengundi calon bukan beragama Islam adalah dibolehkan.
Menurutnya, melainkan terdapat sifat yang mendatangkan ancaman kepada agam Islam seperti tidak amanah dan tiada kepakaran dalam menjalankan tanggungjawab yang diberikan.
Hukum merosakkan undi dalam sesuatu pilihan raya hukumnya dengan sengaja adalah haram.
"Kesemua faktor berkenaan perlu diambil kira sebelum mengundi.
"Ini merupakan pandangan Ibnu Hajar al-Haitami al-Ramli, Khatib as-Syarbini, Ibn al-Arabi, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi, Syeikh Dr Wahbah al-Zuhaili, Syeikh Dr Rachid Ghannouchi dan sebagainya.
"Kita juga perlu mengundi calon yang mampu menjaga agama dan prihatin kepada rakyat bawahan," katanya.
Selain itu, Zulkifli turut menasihatkan rakyat agar mengundi calon yang mempunyai sifat sabar dan berprinsip.
Tambahnya, pengundi juga perlu mengambil kira faktor calon yang mempunyai integriti tinggi, kompeten dan memahami tugasnya sebagai pemerintah.
Pengundi perlu mengambil kira faktor calon yang mempunyai integriti tinggi, kompeten dan memahami tugasnya sebagai pemerintah.
"Ada pemimpin yang berpengalaman dan ada kepakaran tetapi lemah integritinya. Ada pemimpin yang mempunyai tahap integriti yang tinggi tetapi lemah dari sudut kemampuan dan kelayakan.
"Buat masa sekarang, saya berpandangan setiap parti dan jajaran ada kelebihan dan kekurangan masing-masing.
"Maka, pilihlah calon daripada parti yang mampu membentuk koalisi yang mantap dan paling kurang mudaratnya," ujar bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu.
Jelasnya lagi, rakyat perlu mengelak daripada mengundi calon yang terpalit dengan isu penipuan.
"Dari Ma'qil bin Yasar, sesungguhnya aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: "Barangsiapa diberi tanggungjawab oleh ALLAH SWT untuk memimpin rakyatnya lalu dia mati dalam keadaan menipu rakyatnya, nescaya ALLAH SWT mengharamkan syurga atasnya," katanya.
Untuk rekod, PRN dijadualkan berlangsung secara serentak di enam negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Kedah pada Sabtu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram