
SELANGOR ketika ini bukan lagi negeri yang selamat buat Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis berkata, situasi itu berlaku kerana gabungan tersebut ketika ini masih gagal menarik sokongan pengundi Melayu meskipun selepas tujuh bulan tertubuhnya Kerajaan Perpaduan.
Ulasnya, usaha untuk meyakinkan segmen pengundi tersebut yang membentuk majoriti sebanyak 60 peratus daripada keseluruhan pengundi di negeri terbabit juga dilihat masih gagal untuk dilaksanakan termasuk sepanjang tempoh seminggu kempen PRN sejak 29 Julai lalu.
"Pada waktu ini, daripada segi kesepaduan antara PH-BN itu memang ada. Tapi untuk mengubah sentimen yang berlaku dalam tempoh yang singkat itu mungkin sukar sebab keserasian di peringkat akar umbi masih lagi janggal walau di peringkat kepimpinan sudah baik.
"Kedua, bila kita tengok trend kempen, kebanyakan yang hadir bukan kumpulan pengundi yang ketika ini PH-BN cuba untuk pengaruhi terutamanya anak muda.
"Jadi nampak macam kempen secara fizikal ini sukar untuk peralihan sokongan orang Melayu yang kini dilihat lebih berpihak kepada Perikatan Nasional (PN)," katanya ketika dihubungi Majoriti.
Dalam pada itu, Mujibu yang juga Felo Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM berkata, situasi itu diburukkan lagi keputusan Umno yang merupakan parti tonggak BN meletakkan calon 'recycle' di kerusi yang ditandingi parti berkenaan.
Sebahagian besar pengundi Melayu kini dilihat mengalihkan sokongan terhadap PN. — Gambar hiasan
Jelasnya, langkah itu dilihat berpotensi untuk mencetuskan 'protes senyap' dalam kalangan pengundi akar umbi parti Umno sebagai komponen BN.
"Jadi pertamanya tadi itu gelombang sokongan pengundi Melayu yang beralih kepada PN. Kedua faktor tindakan Umno itu sendiri yang boleh menjadi backfire kepada parti sehingga boleh menyebabkan protes daripada akar umbi.
"Sebab di Selangor ini paling kritikal kerusi yang majoriti Melayu. Kalau PN boleh menang 29 daripada 34 kerusi itu pun dah cukup untuk menang.
"Jadi atas kertas memang nampak macam PH boleh kekalkan penguasaan di kerusi campuran yang dilihat memang sangat berpihak kepada mereka. Cuma sejauh mana Umno dan komponen Melayu PH ini boleh kekal atau halang PN daripada mendapat kerusi," ujarnya.
Penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abdul Muis.
Pada PRN Selangor kali ini, daripada 56 kerusi yang dipertandingkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, 34 daripadanya adalah kerusi majoriti pengundi Melayu yang dijangka menjadi faktor penentu bagi membolehkan pembentukan kerajaan di negeri tersebut.
Sesebuah gabungan memerlukan penguasaan majoriti mudah 29 kerusi bagi membentuk kerajaan di Selangor.
Untuk rekod, dalam PRN kali ini, Umno meletakkan sebanyak 12 calonnya bagi merebut kerusi DUN di Selangor manakala sebuah lagi parti komponen PH, Parti Amanah Negara (Amanah) pula bersaing di sembilan kerusi.
Pada PRU yang diadakan November lalu, gelombang peralihan sokongan Melayu turut dirasai di Selangor yang sudah pun dikuasai oleh PH sejak tiga penggal lalu apabila PN yang terdiri daripada PAS dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memperoleh kemenangan di enam daripada 22 kerusi Parlimen yang dipertandingkan di negeri terbabit.
Pada PRN kali ini, PN Selangor yang diketuai oleh bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohammed Azmin menyasarkan untuk menang di 33 kerusi bagi membolehkannya membentuk kerajaan.
Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohammed Azmin Ali turut bertanding dalam PRN Selangor dengan bersaing di DUN Hulu Kelang.
Dalam pada itu, Mujibu yang juga penyelidik di Ilham Centre berkata, keupayaan PH dan BN untuk mengekalkan pentadbiran di Selangor bakal berada dalam sukar sekiranya berlaku peratusan keluar mengundi yang rendah.
"Dengan mengambil kira senario berlakunya peralihan undi Melayu kepada PN antara 20 hingga 30 peratus, itu pun sudah cukup untuk menjejaskan sokongan terhadap PH dan menyukarkan peluang untuk mereka menang.
"Sebab bila peratusan undi rendah, maka undi yang nak mereka nak rebut itu makin sikit. Jadi mana-mana peralihan undi yang berlaku kalau pun hanya 1,000 atau 2,000 undi itu pun dah dikira banyak," jelas Mujibu.
Sementara itu, beliau berkata, dengan mengambil kira kegagalan PH dan BN untuk mengubah sentimen pengundi Melayu pada PRN kali ini, gabungan itu dijangka sukar untuk menawan tiga negeri dengan majoriti pengundi Melayu yang disandang PN menerusi PAS iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram