'Bapa borek, anak rintik', kenali 8 calon muka baharu PRN azam ganti ayah dalam politik


  • Politik
  • Sabtu, 05 Ogos 2023

Seramai lapan calon baharu yang juga anak kepada nama besar membuat penampilan kali pertama dalam PRN kali ini.

'KE mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi'. Demikian merupakan peribahasa yang sesuai digambarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos kelak susulan beberapa nama calon baharu diumumkan sebelum ini dilihat mempunyai latar belakang politik dalam sejarah keluarganya.

Di Pulau Pinang, calon DAP, Phee Syn Tze, 38, cuba mengekalkan DUN Sungai Puyu untuk mengambil alih tampuk kepimpinan kawasan itu daripada bapanya Boon Poh, 71.

Boon Poh yang merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama lima penggal, telah bertanding dalam pilihan raya negeri sebanyak tujuh kali sejak 1990 sebelum anaknya, Syn Tze tampil membantu bapanya berkempen di Sungai Puyu pada 2008.

"Saya berusia 23 tahun ketika itu dan apa yang penting bagi saya ialah memastikan ayah cukup makan, minum dan berehat semasa berkempen. Saya mengikutinya ke mana-mana sahaja," imbaunya.

Syn Tze bagaimanapun kembali ke New Zealand selepas tamat pilihan raya atas faktor komitmen kerja namun, tidak lama selepas itu bapanya dikhabarkan menelefon semula untuk meminta bantuan.

Syn Tze merupakan calon DAP di DUN Sungai Puyu. — The Star

Boon Poh dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri selepas gabungan Pakatan Harapan (PH) ketika itu menang di Pulau Pinang hingga memaksa beliau melupakan perniagaan keluarga yang dijalankan.

"Jadi saya letak jawatan dan meninggalkan kehidupan yang saya bina di New Zealand untuk membantu perniagaan keluarga," katanya.

Dengan tugas itu, Syn Tze mendapati dirinya perlu bertindak sebagai pembantu peribadi kepada bapanya selepas waktu pejabat.

Ia susulan Boon Poh terpaksa menghadiri banyak acara dan mesyuarat hingga lewat malam yang sekali gus memerlukan anaknya untuk membantu tugas tersebut.

"Saya bukan muka baharu di kawasan pilihan raya bapa saya kerana selepas keputusan dibuat, saya menghasilkan banyak kertas kerja dan berjaya menangani isu yang melanda ahli komuniti kami," tambahnya.

Sementara itu, di kawasan Telok Ayer Tawar di Tasek Gelugor, Abdul Mohsein Mohd Shariff, 44, calon daripada PH juga bersedia mengikut jejak langkah bapanya, Datuk Seri Shariff Omar.

Shariff, bekas orang kuat Umno dan Timbalan Menteri Persekutuan, merupakan Ahli Parlimen Tasek Gelugor selama tiga penggal.

Abdul Mohsein berkata, dia turut berasa selesa berada di lapangan kerana sering mengikuti bapanya dalam kempen.

"Saya memegang jawatan dalam pelbagai jawatankuasa. Setakat ini, orang ramai sangat mengalu-alukan dan menerima kehadiran saya," katanya.

"Kami memerlukan wakil yang kuat di sini. Sebelum ini, kita mempunyai nama besar seperti Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Abdullah Ahmad Badawi.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga dari Permatang Pauh dan kami amat memerlukan lebih ramai pemimpin tempatan untuk memperjuangkan perjuangan kami," kata Abdul Mohsein.

Dalam pada itu, Perikatan Nasional (PN) menyenaraikan calon di Seberang Jaya iaitu Izhar Shah Arif Shah, 30, dari Bersatu.

Beliau adalah anak kepada bekas wakil rakyat, Datuk Arif Shah Omar Shah yang sebelum ini memegang kerusi itu dari 2004 hingga 2013 di bawah parti Barisan Nasional (BN).

Izhar Shah berkata, bapanya telah menetapkan penanda aras yang tinggi buatnya.

"Saya bernasib baik kerana telah menimba pengalaman dengan menjadi sebahagian daripada pasukannya sejak kecil lagi," katanya.

Selain itu, beliau juga merupakan pegawai khas kepada bekas Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin yang bertanding sebagai calon Bersatu di Taman Medan di Selangor.

Di Telok Bahang, Ahmad Zaki Shah Shah Headan, 34, dari Umno, berjuang untuk mendapatkan semula kerusi tersebut selepas bapanya, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah kalah pada pilihan raya umum 2018 dengan hanya 425 undi.

Ahmad Zaki Shah ialah Ketua Pemuda Umno Balik Pulau dan telah berkhidmat dengan BN selama 10 tahun.

"Saya mahu meneruskan apa yang tak sempat dibuat selepas bapa saya kalah pada 2018. Dia mempunyai beberapa perancangan termasuk perumahan kos rendah," katanya.

zah

Ahmad Zaki Shah Shah Headan (kiri) selaku calon di DUN Telok Bahang. — Awani

Jelasnya, perancangan paling ketara dalam senarai bapanya sebelum ini adalah projek pelancongan, termasuk memperluaskan tarikan pasar malam Batu Ferringhi, Pulau Pinang.

"Kini, dengan penyatuan BN dan PH, adalah lebih baik jika negeri ini sejajar dengan Kerajaan Persekutuan.

"Lebih banyak boleh dilakukan untuk kawasan itu kerana sejak 15 tahun lalu, Telok Bahang telah menjadi kerusi pembangkang," katanya.

Di Kedah, Speaker Dewan Rakyat sekarang, Tan Sri Johari Abdul mempunyai seorang lagi anak lelaki yang turut membuat penampilan sulung dalam pilihan raya kali ini.

Mohammed Firdaus Johari, 39, berharap dapat menawan kerusi DUN Gurun yang disandang bapanya yang meletak jawatan Adun selepas dilantik sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Bekas ketua pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kedah itu dijangka bakal menerima tentangan sengit daripada bintang bola sepak Kedah, Baddrol Bakhtiar yang mewakili PN melalui parti PAS.

Mohammed Firdaus, yang merupakan abang kepada Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Mohammed Taufiq, mengharapkan pengalamannya berkhidmat kepada penduduk Gurun di samping bapanya sebelum ini akan mendapat kepercayaan ramai.

"Saya telah bekerja di belakang tabir di sini selama kira-kira lapan tahun dalam usaha menyokong bapa saya serta beberapa lagi pemimpin lain.

"Saya harap diberikan peluang untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan," katanya.

Di Negeri Sembilan, Mohd Najib Mohd Isa, 44, yang merupakan anak kepada bekas menteri kanan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, bertanding di Bagan Pinang sebagai calon BN dari Umno.

Dalam usaha kempen dijalankan, Mohd Najib menolak dakwaan bahawa beliau menggunakan nama bapanya untuk mendapatkan undi.

"Saya yakin kita telah memperjuangkan pengundi dan memberi pencerahan kepada mereka dalam hal negeri.

"Manifesto saya terutamanya berdasarkan pengumpulan data dan maklum balas daripada rakyat untuk memastikan ia selari dengan keperluan dan kehendak mereka," katanya sambil menambah, dia akan memberi tumpuan kepada inisiatif akar umbi.

"Saya tidak akan mengambil kesempatan daripada populariti bapa saya untuk memenangi undi," ujarnya lagi.

Sementara itu, anak bekas Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim, Danni Rais, 36, juga membuat debut politiknya di Klawang.

Ketua Pemuda Perikatan Negeri Sembilan itu berdepan dengan penyandang Datuk Bakri Sawir, dari Amanah, yang juga merupakan sepupu pertamanya.

Klawang adalah satu daripada empat kerusi DUN di bawah kawasan parlimen Jelebu, di mana Rais pernah menjadi ahli parlimen selama beberapa penggal.

Di Selangor, Nurul Syazwani Noh, 35, anak kepada bekas orang kuat Umno dan bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar, berharap dapat menawan kerusi Permatang sebagai calon Perikatan daripada Bersatu. — The Star / Rahimy Rahim, N. Trisha, Lo Tern Chern dan Khoo Gek San

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram