Lima masalah utama perlu diselesaikan jika Lisa Redzuan mahu tawan DUN Pandan Indah


  • Politik
  • Khamis, 10 Ogos 2023

DUN Pandan Indah terletak di bawah Parlimen Pandan.

PEREBUTAN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pandan Indah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor kali ini menyaksikan persaingan empat penjuru.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu, kawasan yang terletak di bawah Parlimen Pandan itu dimenangi oleh calon yang bertanding atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR), Izham Hashim dengan majoriti 16,386 undi.

Dalam pilihan raya kali ini, Izham yang juga Exco Infrastruktur dan Pertanian Negeri Selangor itu membuat keputusan untuk mempertahankan kerusi berkenaan sebagai mewakili Pakatan Harapan (PH).

Beliau akan dicabar oleh tiga calon lain iaitu Muhammad Fazil Mohd Dali dari Perikatan Nasional (PN), Lisa Redzuan (Parti Ikatan Demokratik Malaysia) atau Muda dan Sivaneswaran Ramasundram (Bebas).

Daripada ketiga-tiga pesaingnya itu, antara nama baharu yang menarik untuk dilihat tentunya Lisa yang mewakili Muda, iaitu parti yang mencanangkan dirinya sebagai pembawa politik baharu di dalam negara.

Melihatkan kepada latar belakangnya, beliau yang juga ibu kepada lima orang anak itu sememangnya mempunyai keunikan dan kekuatan tersendiri.

The candidates for the Pandan Indah seat are Sivaneswaran Ramasundram (left), Izham Hashim (second from left), Lisa Redzuan (fourth from left) and Fazil Mohamad Dali (right) while it is a straight fight between Yew Jia Haur (third from left) and Datuk Chew Han Keai (second from right) for the Teratai seat.

Lisa (tiga dari kanan) bakal berhadapan saingan empat penjuru bagi merebut kerusi DUN Pandan Indah.

Meskipun hanya mempunyai tahap pendidikan setakat Sijil Pendidikan Malaysia (SPM), ia dilihat bukan menjadi penghalang buat anak jati Kuala Lumpur ini untuk mencapai kedudukan yang tinggi dalam kariernya di bidang korporat.

Ia selepas beliau turut diberikan kepercayaan untuk memegang jawatan sebagai Naib Presiden di sebuah insitusi bank antarabangsa yang beroperasi di Malaysia.

Pencapaian tersebut pastinya menggambarkan betapa besarnya keazaman yang dimiliki oleh Lisa untuk berjaya dalam sesuatu perkara yang mahu dilakukan dalam kehidupannya termasuk usahanya bagi berbakti kepada rakyat.

Namun, perlu diingatkan, bidang politik bukanlah sama seperti bidang korporat.

Ini kerana sebagai wakil rakyat, Lisa perlu berkhidmat kepada kira-kira ratusan ribu penduduk yang berada di bawah DUN yang ditandinginya.

Disebabkan itu, berikut Majoriti senaraikan lima masalah utama perlu diberikan perhatian olehnya jika mahu menawan DUN Pandan Indah:

1. Banjir

CBBCC7A4-0FB4-473A-BD6C-E59027F198A5

Beberapa tempat di Pandan Indah dilaporkan masih lagi mengalami kejadian banjir kilat. — Gambar hiasan

Isu banjir sememangnya agak sinonim dengan kawasan bandar seperti di DUN Pandan Indah.

Meskipun tidak kritikal, namun masalah tersebut khususnya banjir kilat sememangnya dilaporkan masih membelenggu beberapa tempat di kawasan terbabit.

Perkara ini turut diakui oleh Izham yang merupakan penyadang di DUN tersebut apabila mengatakan terdapat satu lagi tempat di Pandan Indah, Selangor yang masih berhadapan dengan isu tersebut.

Untuk rekod, beberapa tempat di kawasan Pandan Indah dilaporkan pernah mengalami banjir melibatkan beberapa kawasan perumahan sekitar November 2018.

Pada masa sama, meskipun tidak berlaku dalam skala yang teruk, beberapa tempat khususnya di jalan raya dekat kawasan tersebut juga dilaporkan sering berhadapan isu banjir kilat sekiranya berlaku hujan lebat berterusan.

2. 'Mall' mati

2203431

Keadaan suram di salah sebuah pasaraya yang terletak di Pandan Indah.

Kewujudan pusat beli-belah yang seakan-akan hidup segan mati tak mahu merupakan antara isu utama yang berlaku di Pandan Indah.

Situasi tersebut sememangnya menjadi satu berita buruk khususnya buat peniaga di kawasan tersebut yang mengalami kerugian akibat kemerosotan aktiviti jual beli di tempat terbabit.

Keadaan itu tentunya bakal memberikan sekiranya dibiarkan berterusan pastinya memberikan imej negatif terhadap Pandan Indah khususnya dari segi aspek kemapanan ekonomi setempat.

Malah, Majoriti sendiri pernah membuat liputan mengenai rungutan daripada peniaga yang menjalankan operasi mereka di pusat beli-belah terbabit.

Antara pusat beli-belah yang kini disifatkan semakin muram ialah Paragon Point Shopping Centre, Pandan Kapital, Midpoint Shopping Centre dan Galaxy Ampang Mall.

3. Infrastruktur usang

844927B8-BA4B-4053-8B2D-D171EC880A12

Isu infrastruktur usang menjadi antara masalah yang perlu diberikan perhatian di Pandan Indah. — Gambar hiasan

Sebagai sebuah bandar yang boleh dikatakan sudah dibangunkan agak lama, Pandan Indah pastinya berhadapan dengan isu seperti keadaan infrastruktur yang usang.

Ia masalah membabitkan penyelenggaran bangunan lama antaranya pusat komersial, pasar dan kemudahan utama lain termasuk tempat beriadah, kawasan pejalan kaki dan lampu jalan.

Dalam pada itu, isu penyelenggaraan kebersihan membabitkan bangunan komersial dan kemudahan lama seperti blok kedai serta medan selera dan terajuga pastinya memberikan cabaran yang tersendiri.

Situasi kebersihan di kawasan perumahan lama seperti Taman Nirwana, Taman Cempaka and Ampang Hilir di bawah DUN itu juga perlu diberikan perhatian.

Satu perancangan yang komprehensif perlu dikemukakan bagi memastikan kesemua infrastruktur utama digunakan penduduk dapat terus dinikmati dengan selesa.

4. Tangani kes jenayah

A waiter at a restaurant in Pandan Indah was killed in an explosion after inspecting a package placed on his car.

Seorang pelayan maut selepas terkena bom yang diletakkan di atas kereta di hadapan sebuah restoran di Pandan Indah, Selangor.

Pandan Indah juga merupakan antara kawasan yang sering kali terpalit dengan kes jenayah.

Pada minggu lalu, terdapat satu kes gaduh membabitkan kira-kira 10 orang individu yang merusuh di sebuah restoran di kawasan tersebut

Selain itu, pada akhir tahun lalu, , terdapat satu kes bunuh membabitkan penggunaan bom yang diletakkan di atas kenderaan sehingga mengakibatkan kematian seorang pelayan di sebuah restoran.

Kewujudan kes-kes sedemikian meskipun terpencil tidak seharusnya dipandang ringan memandangkan ia turut memberi kesan terhadap keselesanan dan keselamatan penduduk setempat.

5. Penduduk Taman Kencana

1668332

Pembinaan jajaran MRT3 bakal melibatkan beberapa taman di kawasan Pandan Indah. — Gambar hiasan

Sementara itu, isu membabitkan pembinaan jajaran baharu projek Transit Aliran Massa 3 (MRT3) yang akan melibatkan Taman Kencana dan Taman Bakti yang terletak di bawah DUN Pandan Indah juga menjadi antara perkara yang perlu diberikan perhatian.

Ini kerana terdapat bantahan daripada penduduk di kawasan tersebut dan meminta kerajaan negeri supaya mengkaji semula hasrat untuk menjadikan taman tersebut sebagai sebahagian daripada projek MRT3.

Media sebelum ini melaporkan terdapat penduduk mendakwa pihaknya tidak dimaklumkan mengenai peringkat awal projek tersebut yang antara lain membabitkan pengaktifan cadangan pengambilalihan tanah.

Situasi tersebut tidak seharusnya berlaku memandangkan pelaksanaan projek tersebut bakal memberikan kesan terhadap kediaman penduduk di kawasan tersebut.

Pada masa sama, penduduk juga dilaporkan masih tidak berpuas hati kejelasan maklumat yang dikongsikan kepada mereka berkenaan draf projek terbabit. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram