Permintaan pakej percutian mencanak, pengusaha agensi pelancongan terpaksa 'korban' rai Aidifitri bersama keluarga


  • Massa
  • Selasa, 25 Apr 2023

Pulau menjadi destinasi kedua ketika balik kampung semasa raya.

MUSIM perayaan tidak semestinya menjadi waktu dinanti-nantikan untuk pulang ke kampung halaman, malahan trend bercuti bersama keluarga semakin menjadi pilihan.

Pelbagai faktor menyebabkan ia berlaku dan tentu sekali antaranya kerana keluarga berkenaan sudah tidak lagi mempunyai ibu bapa atau mentua di kampung masing-masing.

Sehubungan itu, ada yang mengambil peluang sempena cuti Aidilfitri untuk bercuti bersama keluarga sama ada di dalam atau luar negara.

WhatsApp Image 2023-04-17 at 22.55.00

Siti Noraishah menganggap penjualan pakej percutian tahun ini memberangsangkan berbanding tahun lalu.

Menurut Pegawai Pemasaran Seroja Anggerik Travel & Tours Sdn Bhd, Siti Noraishah Ahmad, 37, sambutan percutian tahun ini amat memberangsangkan iaitu peningkatan kepada 80 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu antara 50 hingga 60 peratus.

Hal ini dapat dilihat apabila tempahan hotel dan resort penuh sepanjang musim musim raya itu dan antara destinasi penginapan yang menjadi pilihan utama termasuk di kawasan Port Dickson, Negeri Sembilan seperti Lexis Hotel, Tasik Villa, Avillion Port Dickson dan banyak lagi.

"Tidak lupa juga di Melaka, iaitu Bandar Hilir dan di Johor seperti Danga Bay sebagai tempat pilihan penginapan. Walaupun ia kawasan bandar tetapi mempunyai tarikan kerana berdekatan dengan kemudahan yang sudah pasti menyenangkan pengunjung," kata pengawai di syarikat pelancongan itu sambil menambah pihaknya juga mendapat tempahan pakej umrah.

Selain itu, katanya, bukan saja umat Islam, malahan pelanggan bukan Islam turut memilih destinasi percutian di pulau sekitar Semenanjung mendapat permintaan tinggi, antaranya Pulau Redang, Terengganu; Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Rawa di Johor.

puala tioman

Keindahan Pulau Tioman yang dapat dilihat sehingga ke dasar laut.

Berikut adalah pakej yang ditawarkan oleh Seroja Anggerik Travel & Tours Sdn Bhd iaitu Minang Cove Resort serendah RM800, The Barat Tioman Beach Resort (RM489 bersih) dan Sari Pacifica Beach Resort, Pulan Redang (RM550 bersih).

Selain itu, pakej yang ditawarkan Paya Beach Spa & Dive Resort (Pulau Tioman) adalah serendah RM329 setiap seorang termasuk penginapan tiga hari dua malam yang boleh memuatkan empat dewasa.

Selain itu, resort tersebut menyediakan dua set bufet termasuk sarapan, makan tengah hari dan makan malam (BBQ). Lebih menarik turut ditawarkan trip ke Pulau Ringgis dan Marine Park untuk aktiviti snorkeling.

Manakala, sambutan raya bagi pusat pelancongan di Sabah pula dianggap luar biasa kerana turut melibatkan pengunjung dalam dan luar negara, antaranya dari China dan Indonesia.

A8973B72-080E-4D01-AAC3-1AE348837260

Pengasas Prodeo Travel and Tour yang diketuai oleh Askalani.

Sementara itu, pengasas agensi pelancongan Prodeo Travel and Tour, Askalani Abdul Jalil, 24, berkata pihaknya terpaksa korbankan cuti untuk beraya bersama keluarga kerana tempahan untuk percutian ke pulau yang ditawarkan sangat luar biasa yang menyebabkan jadual bekerja agak padat.

"Sambutan itu dua kali ganda tinggi daripada tahun sebelumnya kerana tempahan untuk resort di pulau mendapat permintaan tinggi," kongsinya yang perlu bertugas untuk memastikan keselesaan dan keselamatan pelanggan terjamin.

Hal ini kerana, terdapat keluarga yang balik ke kampung halaman terutamanya di Sabah untuk beraya sambil tenangkan fikiran dengan cara bercuti ke pulau-pulau yang menarik itu.

Tambahnya, sudah pasti keindahan pulau-pulau yang terdapat di Sabah menjadi tarikan utama pelancong antaranya Pulau Sipadan, Pulau Bohey Dulang, Pulau Mabul dan banyak lagi.

"Namun begitu, Pulau Sipadan adalah salah satu pulau tercantik dengan keindahan alam semula jadi hidupan laut di samping hot spot centre to scuba divers," kata Askalani.

pulau mabul

Pulau Mabul antara pilihan utama para pengunjung untuk datang ke Sabah.

Namun begitu, pakej tempat penginapan yang ditawarkan di Pulau Mabul, Semporna, Sabah antaranya ialah resort Scuba Junkie, Borneo Diver, Water Bungalow, Sipadan Water Village dan banyak lagi.

Aktiviti yang ditawarkan pula ialah diving dan snorkeling yang mana pasti memberikan pengalaman yang tidak dilupakan seperti melihat keindahan hidupan laut di samping dapat melihat sendiri kehidupan Bajau Laut di Pulau Mabul.

Bagi harga pakej yang ditawarkan di Pulau Mabul adalah serendah RM500 hingga RM2500. Ini kerana, pengunjung boleh membuat permintaan mengikut resort yang diidamkan sama ada menginginkan kawasan dengan permandangan alam semula jadi seperti pantai atau pergunungan.

Resort di pulau itu juga menyediakan aktiviti sampingan dan rekreasi selain menyediakan penginapan sahaja.

Lebih menarik lagi, Askalani berkata, mereka juga menyediakan pakej untuk belajar dan latihan kepada pelancong yang tidak mempunyai lesen menyelam.

Dalam masa sama, pegawai berkenaan turut berkongsi terdapat kemungkinan peningkatan pelanggan bagi pakej yang disediakan kerana mereka tidak mempunyai orang tua di kampung, sekali gus memilih melancong bersama keluarga.

"Biasanya, penduduk tempatan akan bercuti bermula pada raya ketiga di pulau-pulau yang berdekatan. Tambahan pelancong yang ada di Semporna, Sabah ketika ini kebanyakkannya dari China," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram