UMUM mengetahui kebiasaannya binatang korban pada Hari Raya Aidiladha adalah daripada haiwan ternakan seperti lembu, kambing, kerbau, kibas, ma‘iz dan lain-lain.
Malah haiwan berkenaan perlu memenuhi syarat sebagai haiwan korban dari segi umurnya dan tidak mempunyai kecacatan dan aib yang menyebabkan kurang dagingnya.
Namun timbul persoalan yang agak luar daripada kebiasaanya iaitu tentang warna haiwan paling afdal untuk dijadikan binatang korban.
Oleh itu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menerusi satu hantaran dalam laman web Maktabah Al-Bakri tampil untuk memberi penjelasan tentang pertanyaan tersebut.
Menurutnya, para ulama pernah membahaskan tentang keutamaan haiwan korban dari sudut warna.
Katanya, Imam al-Nawawi menyebutkan, warna haiwan korban yang paling baik (afdal) ialah warna putih, kemudian warna kekuningan, kemudian warna al-ghabra’ (warna debu atau tanah) iaitu tidak menggambarkan keputihannya, kemudian warna balqa’ iaitu sebahagiannya berwarna putih dan sebahagiannya lagi berwarna hitam, kemudian warna hitam.
Para ulama membahaskan pelbagai pendapat berkenaan warna haiwan ternakan paling afdal dijadikan sebagai binatang korban berdasarkan tafsiran daripada hadis Rasulullah SAW. — Gambar hiasan
"Selain itu, Ibn Qudamah turut menyebutkan, sebaik-baik haiwan korban daripada jenis kambing ialah yang berwarna putih.
"Begitu juga dalam Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah ada menyatakan pendapat Dr. Nidhal Sultan bahawa sebaik-baik haiwan korban dari sudut warna ialah warna putih, kemudian warna kekuningan, kemudian warna ‘afra’ (putih yang tidak bersih), kemudian warna kemerahan, kemudian warna hitam," katanya.
Malah perbahasan tersebut dibuat berdasarkan hadis diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A:
ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا
Maksudnya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibas yang berwarna putih dan terbaik, yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta Baginda meletakkan kakinya di tengkuk kibasy tersebut.”
Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)
Bagi menjelaskan maksud 'أَمْلَحَيْنِ', Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut, perkataan amlah (أَمْلَح) bermaksud berwarna hitam dan putih, tetapi warna putihnya lebih banyak, dan kadang-kala disebut aghbar.
Menurut al-Asma’i. Al-Khattabi pula menambah, ia adalah berwarna putih dan terdapat warna hitam di sela-sela bulunya.
Walaupun haiwan korban tersebut bukan berwarna putih, ia tidak bermaksud haiwan korban selain daripada warna putih dihukumkan sebagai makruh. — Gambar hiasan
Tambah Dr Zulkifli, ada pula yang berpendapat bahawa ia ialah warna putih bersih, sepertimana pendapat Ibn al-A‘rabi dan ia dijadikan dalil ulama mazhab Syafi‘i yang mengutamakan haiwan putih untuk dijadikan haiwan korban.
Bagaimanapun, beliau turut merujuk satu lagi hadis daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
دمُ عَفْراءَ أحبُّ إلى اللهِ من دمِ سوداوَيْن
Maksudnya: “Menyembelih seekor haiwan korban berwarna ‘afra’ adalah lebih disukai oleh Allah berbanding menyembelih dua ekor haiwan korban berwarna hitam.”
Riwayat Ahmad (9393); al-Harith dalam Musnadnya (402) dan lafaz hadith daripadnya; al-Hakim (7543); Hadith ini dinilai sebagai hasan li ghairihi dalam al-Silsilah al-Sahihah (1861).
Setelah pelbagai perbahasan dan hujahan dibuat oleh para ulama, Dr Zulkifli dalam hantaran tersebut menyimpulkan bahawa sebaik-baik warna haiwan korban adalah warna putih, walaupun ia bukan bermaksud haiwan korban selain daripada warna putih dihukumkan sebagai makruh.
"Justeru, kami tegaskan sekali lagi bahawa mana-mana haiwan ternakan daripada unta, lembu dan kembing berserta jenis-jenisnya seperti kerbau, kibas, ma‘iz dan lain-lain adalah sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban.
"Tidak kira haiwan korban itu warna apa pun sekalipun bukan warna putih ataupun warna-warna yang disebutkan oleh para ulama mengikut turutan keutamaan," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram