'Berniaga sambil bersedekah', Cik Nah jual teh O 30 sen sejak 30 tahun lalu


  • Massa
  • Rabu, 09 Nov 2022

Cik Nah mengusahakan kedai makannya di Kuala Terengganu sejak 30 tahun lalu.

PENINGKATAN harga barangan menyebabkan ramai peniaga terpaksa menaikkan harga produk jualan mereka.

Namun bagi Sinah Sulaiman atau mesra dikenali sebagai Cik Nah, dia masih mengekalkan harga minuman teh O pada kadar 30 sen.

Wanita berusia 60-an itu menjual minuman tersebut di gerai miliknya, Kedai Makan Sinah di Kampung Datuk Amar, Kuala Terengganu, Terengganu sejak hampir 30 tahun lalu.

“Semasa saya mula-mula menjalankan perniagaan, saya jual teh O pada harga 20 sen, tetapi pernah menaikkannya kepada 30 sen beberapa tahun dahulu.

“Minuman dengan susu dijual pada harga 60 sen ketika itu, tetapi saya naikkan kepada 80 sen.

"Lepas itu, saya tidak pernah naikkan harga dan setakat ini saya tidak bercadang untuk berbuat demikian pada masa depan," katanya ketika ditemui di kedainya yang sering dikunjungi pelanggan dalam kalangan pelancong dan warga setempat.

Cik Nah berkata, dia pernah menyediakan semua jenis juadah di kedai itu tetapi atas faktor usia, dia kini menjual makanan yang disediakan oleh orang lain.

Pelbagai juadah boleh didapati di kedai tersebut seperti nasi lemak, nasi dagang, nasi kerabu, nasi minyak, nasi kapit (nasi impit) selain lebih 10 jenis kuih-muih tradisional.

Mengendalikan mesin tunai setiap hari, Cik Nah sentiasa memberikan diskaun kepada pelanggannya dan tidak ambil pusing terhadap inflasi serta kenaikan kos barangan.

Ditanya bagaimana dia berjaya mengekalkan harga rendah, Cik Nah berkat, dia akan membeli bahan mentah dan bahan lain secara pukal.

“Saya berniaga sambil bersedekah. Itu moto saya.

"Apa yang ada sudah memadai. Saya boleh bayar pekerja dan dapat keuntungan sedikit untuk diri sendiri pun dah cukup," katanya sambil menambah, dia mempunyai 10 pekerja pada hari biasa dan tambahan tiga orang lagi pada hujung minggu.

Mampu mengekalkan harganya yang rendah bukanlah satu-satunya perkara yang menarik mengenai perniagaan Cik Nah, malah dia mengakui kuat bekerja walaupun pada usia emas.

Menurutnya, gerai itu dibuka setiap hari kecuali pada bulan puasa, Hari Raya Aidiladha dan Aidilfitri.

“Saya buka setiap hari sebab kalau pelanggan datang dan lihat kedai ini selalu tutup, mereka tidak akan datang lagi.

“Saya tidak jemu bekerja kerana menunaikan amanat arwah suami yang pernah memberitahu bahawa - kalau asyik nak mengadu, baik tak payah kerja.

“Jadi, saya bekerja keras dan setakat ini saya sihat. Apabila semakin berusia kelak, saya akan serahkan tanggungjawab kepada anak,” katanya sambil memberitahu, anak-anaknya juga sentiasa membantu menguruskan perniagaan itu. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram