[VIDEO] Jalan makin sesak angkara 2 ekor lembu terlepas tengah bandar KL


  • Tular
  • Isnin, 26 Jun 2023

Tangkap layar dua ekor lembu terlepas di sebuah persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur pada Isnin.

DUA ekor lembu yang dipercayai untuk dikorbankan sempena Aidiladha dilihat terlepas di sebuah persimpangan lampu isyarat berhampiran Taman Maluri, Cheras, Kuala Lumpur mencuit hati warga maya selepas video terbabit tular di laman media sosial pada Isnin.

Kejadian tersebut turut dimuat naik di halaman Facebook, DAily TRaffic REport pada hari yang sama.

Menerusi video berdurasi 20 saat itu, kelihatan seorang pengguna jalan berkenaan cuba membantu menangkap lembu-lembu terbabit namun gagal.

Kehadiran dua ekor lembu itu juga menyebabkan beberapa pengguna jalan raya lain menjadi panik sekali gus menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan tersebut.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya mengaitkan lembu itu mahu menyelamatkan diri daripada menjadi korban sempena Hari Raya Haji.

"Selalu nak Hari Raya Haji, mesti ada lembu yang lari ke jalan raya besar, dah macam pertandingan. Lembu itu pula macam dah tahu nak kena korban," kata Cik Puan Aina.

"Ini punca aku lambat masuk kerja. Selamat ada bukti tunjuk pada majikan, bos aku siap gelak tanya kenapa aku tak tangkap sahaja. Bila aku fikir balik macam bahaya pula situasi itu, bayangkan lembu itu mengamuk. Apa yang akan terjadi?," kata Anis Zalikha.

"Mana mai (datang) pula lembu kat Maluri itu. Dah sesak jalan raya. Lawak di hari Isnin, mentang-mentang nak raya," kata Monalissa pula.

Setakat berita ini ditulis, belum dapat dipastikan sama ada kedua-dua haiwan terbabit dapat ditangkap, selain masih belum ada sebarang kenyataan media dikeluarkan pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram