MINGGU lalu, industri hiburan heboh dengan insiden seorang penyanyi veteran terkenal yang dilaporkan 'sound' pengamal media secara langsung di televisyen sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan pengguna media sosial.
Pelbagai persepsi daripada golongan 'bijak pandai' wargamaya dilontarkan bagi mengulas tentang hal terbabit.
Bagaimanapun, setiap teguran yang diberikan itu perlu berada di landasan yang betul agar tidak wujudnya perasaan riak mahupun takbur.
Perasan berasa diri sangat hebat perlu dibuang dan disimpan dalam diri kerana hal itu mampu mengundang kebencian ALLAH.
Jangan mudah merasakan diri lebih bagus atau lebih baik daripada orang lain kerana hal itu boleh menyebabkan seseorang berasa riak.
Ustaz Azhar Idrus dalam satu video ceramahnya, berkata, individu yang mempunyai perasaan begitu perlu segera bertaubat dan mendekatkan diri kepada Sang Pencipta.
"Sekiranya perasaan unjuk (perasaan bangga diri) itu sudah timbul, cepat-cepat kita kembali kepada ALLAH. Ini kerana ALLAH benci orang yang rasa hebat diri dia.
"Kalau kita ada perasaan itu, buang awal-awal. Kalau kita mati tidak sempat buang perasaan itu, maka di hari kiamat kita akan bangkit dalam keadaan begitu," jelasnya.
Rasa bangga dalam diri seharusnya tidak perlu kerana setiap kelebihan yang dimiliki merupakan kurniaan ALLAH SWT.
"Unjuk yang haram ini ialah bila rasa hebat tidak mengira kerjaya, pandai azan, kebijaksanaan, atau boleh menulis lagu, dan lupa bahawa semua itu ALLAH yang kurnia.
Mendekatkan diri dengan ALLAH sebagai salah satu usaha untuk menjauhkan diri daripada sifat unjuk.
"Unjuk itu adalah itu daripada ibu kepada takbur. Bila sudah lupa ALLAH yang memberi nikmat, maka mula membesarkan diri.
"Sekiranya ada rasa unjuk dalam diri, maka tidak akan dapat masuk syurga," ujarnya.
Menurut firman ALLAH dalam surah al-Israa ayat 37 maksudnya:"Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi, dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang."
Secara ringkasnya, Azhar menegaskan tidak mengira pangkat atau darjat, individu itu tidak boleh menyimpan perasaan unjuk dalam diri.
Hal tersebut bukan sahaja mampu menyebabkan perpecahan dalam kalangan masyarakat, tetapi turut tergolong dalam kumpulan yang dibenci ALLAH. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram