Kesabaran tanpa noktah, hayati kisah ibu para rasul berjuang di jalan ALLAH


  • Mukmin
  • Jumaat, 12 Mei 2023

TANGGUNGJAWAB sabagai ibu itu bukan satu hal mudah dan perlu disertakan dengan sabar dan cekal.

“KASIHNYA ibu membawa ke syurga.” Begitulah bait kata lagu Kasihnya Ibu nyanyian Allahyarham Datuk Sharifah Aini yang cukup menyentuh hati.

Begitu jelas pengorbanan dan kasih seorang ibu memang tidak berpenghujung.

Begitulah yang berlaku kepada para ibu yang darah dagingnya diangkat ALLAH SWT sebagai pembimbing zuriat yang mewarisi agama suci Islam.

Semoga kesabaran dan ketakwaan yang dipamerkan dapat dijadikan sebagai kekuatan sekali gus pengajaran di mana hadapan.

Siti Hajar

Menurut ilmuan Islam Universiti Al Azhar, Sheikh Dr Mustafa Murad, Siti Hajar merupakan hamba yang ditugaskan sebagai pembantu Siti Sarah, isteri Nabi Ibrahim.

Setelah sekian lama, Siti Sarah membenarkan Siti Hajar untuk berkahwin dengan suaminya demi memiliki zuriat sendiri.

Setelah berkahwin, Siti Hajar hamil, namun kehamilannya tidak disenangi oleh Siti Sarah. Disebabkan itu, Siti Sarah meminta agar Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar pergi jauh daripada dia.

spsnewswomeninmosques960x540

Jika berasa gundah, kebimbangan atau kesedihan, berdoa kepada ALLAH dan sentiasa percaya dan menyerahkan nasib kepadaNYA.

Bermula daripada detik itu, ALLAH SWT meriwayatkan agar Nabi Ibrahim membawa Siti Hajar dan anaknya, Nabi Ismail ke Mekah dan tinggalkan mereka di sana.

Setelah ditinggalkan sendirian bersama anaknya, Siti Hajar berusaha untuk mendapat minuman. Mekah ketika itu digambarkan sebagai sebuah kota yang tandus dan gersang serta sukar untuk mendapatkan sumber air.

Dalam keadaan panas, Siti Hajar berlari antara bukit safa ke marwah sebanyak tujuh kali.

Setelah itu, Siti Hajar kembali kepada anaknya yang diletakkan di atas tanah. Hentakan dan geseran itu menyebabkan keluarnya air daripada tanah dan kini dikenali sebagai Telaga Air Zamzam.

Berdasarkan kisah itu menunjukkan Siti Hajar sabar dan tabah berdepan dugaan. Siti Hajar akur dengan perintah ALLAH dan menyerahkan seluruh takdirnya kepada ALLAH.

Disebalik dugaan ALLAH, pasti ada rahmat yang tidak diduga dan dapat mengubah masa depan.

Apa yang penting, sabar, rajin berusaha dan percaya dengan takdir rezeki ALLAH.

Muslim woman reading from the quran

Muslim yang patuh kepada ajaran agama Islam akan mendapat ganjaran yang mulia di sisi ALLAH.

Maryam

Surah Maryam mengabadikan nama wanita dalam al-Quran. Maryam juga ibu kepada Nabi Isa daripada keturunan Imran.

Sejak dalam kandungan, Maryam bernazar agar anak dalam kandungannya mengabadikan diri kepada ALLAH.

Kehamilan Maryam turut menjadi bukti kekuasaan ALLAH yang hamil tanpa suami. Kisah Maryam juga diceritakan dalam surah Ali Imran yang menjelaskan tentang bagaimana perasaan Maryam ketika itu.

Gembira, sedih dan takut menyelubungi dirinya. Namun disebabkan takwa dan sabar, ALLAH sentiasa mempermudahkan urusan Maryam.

Meskipun dihina masyarakat, tetapi Maryam tetap sabar. Disebabkan risau dengan keadaan anaknya, Maryam pergi secara bersembunyi ke sebuah kawasan untuk melahirkan anaknya iaitu Nabi Isa.

Biarpun berada dalam keadaan takut, namun Maryam tetap sabar dan memelihara bayi dalam kandungannya sebaik mungkin. Bahkan Maryam juga merupakan antara tokoh wanita yang perlu dicontohi kerana kesungguhan melakukan ibadah, menjauhi daripada melakukan perbuatan terlarang seperti zina.

Ibu Nabi Musa

ezgif-5-3913fcb13f

Ibu yang mengasihi anaknya tentu sahaj tidak akan membiarkan cahaya mata mereka berdepan dengan kesulitan.

Nama sebenar ibu Nabi Musa masih diperdebat sehingga ke hari ini. Biar apa pun namanya, namun kisah kesabaran seorang ibu itu jelas tiada tandingan.

Bayangkan, bagaimana perasaan seorang itu yang terpaksa berjauhan dengan anaknya. Meskipun terselamat daripada dibunuh oleh pemerintah yang kejam, namun hati si ibu tentu sahaja sedih kerana tidak dapat bersama dengan anaknya.

Bayi Musa yang dihanyutkan dengan menggunakan bakul di sebatang sungai itu kemudian tiba di kawasan persekitaran istana firaun di Mesir.

Kemudian Nabi Musa ditakdirkan bertemu dengan Asiah iaitu isteri kepada firaun.

Nabi Musa dipelihara oleh Asiah. Meskipun sekadar anak angkat, Asiah sangat mengasihi Nabi Musa.

Bahkan Asiah juga beriman kepada ajaran Islam. Biarpun pada awalnya dia melakukan ibadah secara sembunyi, namun perlahan-lahan Asiah mengakui. Kesabaran Asiah mendalami ilmu Islam, dan pada masa sama cuba melindungi Nabi Musa daripada ditindas oleh suaminya.

Setelah sekian lama Asiah akhirnya mengakui dirinya beriman kepada ALLAH.

Berita itu mendapat tentangan daripada firaun yang kemudian menyiksa dengan membiarkan kelaparan di tengah padang pasir. Dalam keadaan panas Asiah dikatakan dipaksa untuk menanggalkan pakaiannya dan dilontarkan dengan batu besar.

Disebabkan keengganan mengakui firaun adalah TUHAN, Asiah akhirnya maut kerana dihempap batu besar.

Secara ringkasnya, setiap ibu termasuk yang melahirkan dan membesarkan para rasul itu mempunyai cabaran serta dugaan kehidupan mereka. Biar apa pun yang mendatang, mereka tetap beriman kepda ALLAH dan yakin dengan ketentuanNYA. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram