BERDASARKAN penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, istilah anak syurga dijelaskan sebagai kanak-kanak atau anak-anak yang meninggal dunia sebelum baligh.
Situasi itu boleh berlaku sama ada meninggal dunia ketika dalam kandungan ibu, keguguran atau meninggal setelah keluar daripada rahim.
Ibu bapa yang memiliki anak syurga ini dikatakan memiliki kelebihan, antaranya tidak berada lama di neraka atau berkemampuan untuk masuk ke syurga selepas ‘ditarik’ oleh anak mereka.
Anak syurga dikatakan mampu memberi bantuan kepada ibu bapanya, namun bukan satu jaminan untuk orang tuanya terus masuk syurga.
Namun, pendakwah selebriti, Datuk Tuan Asmawi Tuan Umar menjelaskan agar perkara itu jangan dijadikan sebagai satu tiket ‘jalan pintas’ ke syurga dan tidak pula berusaha bersungguh-sungguh dalam ibadah.
Ini kerana anak syurga dikatakan mampu memberi pertolongan kepada ibu bapanya. Namun, harus diingatkan bahawa sesiapa yang sudah mencapai usia mukallaf iaitu seorang dewasa atau sudah baligh melakukan perbuatan perlandasakan agama dan meninggalkan perkara larangan, mereka ini sudah memiliki ‘akaun’ sendiri manakala anak syurga itu hanya satu peluang nilai tambah.
“Memiliki anak syurga bukan satu jaminan akan terus masuk ke syurga atau tidak lama di neraka. Sesiapa yang ingin masuk ke dalam syurga perlu berlandaskan syafaat ALLAH dan bukan disebabkan kita paling banyak beribadah seperti solat, puasa dan sedekah.
“Jika kita melakukan semua itu dengan perasaan riak, tiada gunanya. jadi segalanya perlu ikhlas kepada ALLAH kerana syurga itu bukan seperti tempat seperti istana, syurga ialah tempat di mana ALLAH memuliakan hambanya yang bertakwa,” katanya kepada Majoriti.
Individu dewasa yang sudah baligh perlu ikhlas dalam melakukan ibadah kerana ALLAH.
Apabila bercakap soal pembalasan atau tempoh berada dalam neraka bukan satu angka atau melibatkan pengiraan matematik manusia. Perkara itu bimbang akan menyebabkan seseorang mudah alpa atau mengambil mudah dalam meninggalkan kemungkaran dan melakukan kebaikan.
“Anak syurga itu betul, tetapi ibu bapa yang sudah dewasa dan baligh mempunyai pengiraan mahupun penilaian. Jadi jangan kerana fikir, memiliki anak syurga membolehkan seseorang berbuat ibadah dengan cara sambil lewa.
“Jadi jangan rasa sedap hati sangat atau berpendapat bahawa anak itu akan memberikan bantuan 100 peratus. Semua itu sudah ditakdirkan ALLAH dan tiada siapa mengetahui apa yang akan berlaku nanti,” jelasnya.
Secara kesimpulannya, ibu bapa perlu memperbanyak amal ibadah dan sebaiknya melakukan kebaikan berasaskan keimanan kepada ALLAH.
Sekiranya memiliki anak syurga, semoga berkat kesabaran dan reda dengan apa yang ditakdirkan dapat membantu di hari akhirat kelak. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram