MENJALANI kehidupan sebagai Muslim yang patuh kepada agama dan meninggalkan larangan ALLAH menjadi satu kewajipan setiap umat Islam.
Dengan itu, apabila ditanya tentang keinginan seorang Muslim kepada pengakhiran hidup, tentu sahaja jawapannya ialah husnul khatimah.
Begitu juga apabila ucapan tersebut selalu dinyatakan kepada individu yang sudah tiada dengan harapan agar si mati meninggal dunia dalam keadaan baik.
Seperti firman ALLAH SWT dalam surah al-Mulk ayat dua : “Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hiduo (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan DIA MAHA KUASA (membalas amal kamu), lagi MAHA PENGAMPUN, (bagi orang-orang yang bertaubat).”
Ucapan terbaik untuk individu yang sudah meninggal dunia ialah Husnul Khatimah.
Bagaimanapun kadangkala berlaku kekeliruan dalam ucapan tersebut yang mana terdapat dua kata iaitu khusnul khatimah atau husnul khatimah.
Memetik media seberang, liputan6, khusnul khatimah dan husnul khatimah sangat berbeza. Khusnul membawa maksud hina manakala husnul membawa erti kebaikan.
Disebabkan itu, kita perlu berhati-hati dalam memberi ucapan mahupun pesan kepada orang seseorang lebih-lebih lagi melibatkan penulisan.
Kesilapan antara khusnul dan husnul yang membawa erti berbeza mampu mengundang salah faham dalam kalangan masyarakat yang sering berpandangan khusnul khatimah itu adalah ucapan yang sebenar.
Kata husnul di ambil daripada kata hasan yang bermaksud baik manakala husnul khatimah iaitu pengakhiran kebaikan atau kata lain kematian yang berakhir dengan reda ILLAHI.
Terdapat berbezaan antara husnul khatimah dengan khusnul khatimah yang membawa maksud berbeza iaitu kebaikan dan keburukan.
Bahkan kata Husnul Khatimah juga digunakan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam menjelaskan tanda-tada kematian yang baik dalam Islam.
“Terdapat banyak hadis menyebut tentang tanda-tanda seseorang itu meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah.
“Syarat penting bagi seseorang itu mendapat husnul khatimah ialah mati dalam keadaan masih kekal sebagai umat Islam, beriman kepada ALLAH SWT dan melafazkan syahadah sebelum meninggal dunia.
“ini kerana ALLAH tidak mengampunkan dosa orang yang melakukan syirik kepadaNYA,” jelasnya.
Sebahagian tanda individu yang meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah ialah mati pada hari atau malam Jumaat, mengucap dua khalimah sebelum menghembuskan nafas terakhir, meninggal dunia dalam keadaan peluh di dahi dan beramal soleh sebelum meninggal dunia. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram