JALINAN persahabatan tidak hanya fokus kepada satu kumpulan iaitu wanita atau lelaki. Ini kerana, setiap daripada kita tentu sahaja bersahabat dengan berlawanan jantina, tidak mengira sama ada di sekolah, universiti, pejabat mahupun mengadakan urusan jual beli.
Biarpun begitu, harus diingatkan percampuan berlainan jantina tidak dibenarkan melainkan keperluan urusan muamalat (hubungan kemasyarakatan) sesama manusia selagi tidak menimbulkan fitnah di samping menjaga batas pergualan mengikut garis syariat agama.
Situasi itu termasuk merakam momen indah bersama untuk dijadikan sebagai kenangan. Namun, harus diingatkan menjaga batas ketika mengambil gambar berduaan berlainan jantina penting bagi mengelakkan menimbulkan fitnah dan tidak dibenarkan oleh syarak.
Saidina Abdullah bin Abbas RA mengatakan Rasulullah SAW bersabda maksudnya: “Tidak boleh untuk seorang lelaki itu berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan perempuan itu ditemani oleh mahramnya.” (Riwayat Muslim 1341).
Hati-hati dalam bergambar antara wanita dan lelaki kerana bimbang akan menimbulkan fitnah. — Gambar hiasan
Asasnya perbuatan berdua-duaan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram adalah dilarang melainkan ditemani mahramnya.
Percampuran antara lelaki dan wanita hanya dibenarkan dalam beberapa keadaan tertentu seperti urusan darurat, keperluan, maslahat (faedah) dalam menjalankan urusan dan aktiviti harian.
Tokoh Islam, Syeikh Abdul Hamid al-Syarawani menyebutkan garis penentuan pergualan antara lelaki dan wanita yang diharamkan berdasarkan situasi yang mengundang fitnah:
“Sesungguhnya garis penentuan khalwat (yang dilarang) ialah ke atas perhimpunan antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram serta tidak selamat daripada tomahan pada adat kebiasaannya. Berbeza apabila dapat dipastikan perhimpunan (pertemuan) tersebut selamat daripada sebarang fitnah pada adat kebiasaannya. Maka ia tidak termasuk dalam kategori khalwat (yang dilarang).”
Terdapat dua situasi yang menjelaskan darurat dan keperluan percampuran lelaki dan wanita dalam menjalankan urusan;
Terdapat dua keadaan membolehkan lelaki dan wanita bergambar atau berada dalam keadaan berduaan.
Darurat
Imam al-Nawawi menyatakan pengharaman khalwat lelaki dan wanita termasuk juga dalam situasi berduaan menunaikan solat. Namun pengecualian bagi kes dalam keadaan darurat seperti terjumpa wanita ajnabi (yang sah berkahwin) yang tersesat di jalanan dan boleh menemaninya atas dasar keselamatan sekiranya wanita takut ditinggalkan.
Keperluan
Keperluan melibatkan muamalat sesama manusia berkaitan kemasyarakatan seperti urusan jual beli, penyaksian, urusan kerja, politik, urusan menuntut ilmu, jihad dan keperluan urusan seharian lain.
Harus dilihat juga dalam urusan jual beli, mengambil dan memberi sesuatu barangan dan seumpamanya. Urusan bermuamalat dengan berlainan jantina mestilah tertakluk dengan nilai-nilai adab dan hukum hakam berkaitan pakaian yang menutup aurat, menjaga pandangan yang bebas syahwat serta tidak melunakkan suara dengan manja (semasa bercakap dengan lelaki asing).
Secara ringkasnya, mengambil gambar dengan lawan jantina tanpa keperluan sehingga menimbulkan fitnah adalah dilarang.
Tidak hanya itu, pergualan antara lelaki dan perempuan termasuklah juga mengambil gambar hanya dibenarkan pada urusan keperluan bagi mengelakkan fitnah di samping menjaga batas pergaulan dalam Islam. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook,