Lari waktu pagi bakar adrenalin, beri tenaga baharu buat Sofea


  • Hobi
  • Jumaat, 23 Sep 2022

Setiap kali kelapangan, Sofea akan melakukan aktiviti larian yang dapat memberinya ketenangan dan mencergaskan tubuh badan.

PENGACARA jelita, Sofea Nur Solehha Tun Nor Idris atau mesra disapa sebagai Sofea menjadikan aktiviti larian mengisi masa lapang sekali gus memberikan kepuasan kepadanya.

Menurut Sofea, larian bukan sahaja dapat dijadikan penawar menghilangkan stres, tetapi turut membuatkan minda dan emosinya menjadi tenang.

Katanya, dia memilih sukan larian kerana mudah untuk dilakukan selain tidak memerlukan sebarang peralatan khusus seperti bermain badminton atau futsal.

"Saya minat larian ini sejak 2019 dan setiap kali melakukannya berasa sangat tenang, gembira dan badan lebih ringan.

"Larian ini juga dapat memberikan tenaga 'baharu' dan mewujudkan semangat untuk menjadi lebih positif dan fokus sebelum bersedia melakukan sebarang perkara," jelasnya kepada Majoriti.

Mengulas mengenai minatnya itu, Sofea memberitahu langkah awal ketika ingin melakukan larian bukan satu perkara mudah apatah lagi perkara tersebut tidak pernah dilakukan sebelum ini.

majoriti2022 (2)

Melakukan senaman memanaskan badan sebelum memulakan larian penting bagi mengelakkan kecederaan.

Jelasnya, sebelum melakukan sebarang perkara dia akan meletakkan sasaran agar menjadi lebih fakus dan tidak tersasar daripada matlamat.

“Setiap kali berlari saya akan memberitahu diri sendiri agar dapat mencapai sama ada tujuh kilometer (km) atau 10 km setiap kali satu sesi larian. Jika tidak berbuat berdemikian saya berasa seperti hilang arah dan melakukannya secara sambil lewa.

“Tidak mengira apa sahaja yang dilakukan, kita perlu tahu apa yang ingin dicapai dan terus fokus supaya kekal berada di landasan betul. Larian juga memerlukan semangat tinggi kerana bimbang cepat bosan dan akan mengalah begitu saja,” ujarnya.

Terus bercerita di hujung talian, Sofea yang diberi mandat mengendalikan rancangan 999 dan Malaysia Hari Ini (MHI) turut berpeluang mengendalikan segmen pagi di stesen radio, Buletin FM setiap Jumaat.

Kesibukan jadual kerja menyebabkan tuan badan tidak menang tangan untuk menguruskan rumah tangga, anak, kerjaya dan minatnya itu.

Sofea akui pengurusan masa penting kerana dia juga bekerja sebagai pengacara bebas (freelance) sama ada mengendalikan acara rasmi atau peribadi.

Disebabkan itu, Sofea memilih untuk melakukan larian pada waktu pagi sekitar pukul 6 pagi. Baginya waktu sebegitu lebih segar dan dianggap baik untuk kesihatan.

majoriti2022 (4)

Pastikan pengambilan diet seimbang sebelum melakukan larian kerana bimbang akan berasa mual, muntah atau pengsan.

“Saya tidak begitu berminat untuk berlari pada waktu petang atau selepas waktu bekerja. Sebelum ini saya pernah dinasihatkan doktor agar melakukannya pada sebelah pagi.

“Difahamkan waktu petang otot akan menjadi tegang lebih-lebih setelah seharian bekerja. Sekiranya tidak melakukan senaman panaskan badan atau terlalu memaksa diri untuk berlari, badan akan mudah mengalami kekejangan atau tercedera,” katanya.

Sebelum menutup bicara, Sofea sempat berkongsi beberapa perkara yang perlu diberi penekanan sebelum melakukan larian.

1. Senaman panaskan badan

Sekiranya tidak mengetahui apa yang ingin dilakukan, cara paling mudah tonton video contoh di YouTube. Senaman panaskan badan perlu bagi mengelakkan kekejangan otot atau sakit pada bahagian pergelangan kaki dan lutut.

2. Kasut

Sebaiknya ambil masa untuk membuat pilihan kasut bersesuaian. Cuba dapatkan nasihat pakar kerana langkah larian dan bentuk tapak kaki setiap individu berbeza. Buat pilihan tepat bagi mengelakkan kecederaan atau rasa tidak selesa ketika berlari. Disebabkan itu harga kasut larian berkualiti tinggi lebih mahal sehinggakan ada mencecah RM400 atau RM500.

3. Jaga pemakanan

Sesetengah individu menjadikan larian sebagai salah satu senaman untuk kuruskan badan. Namun, perlu diingat untuk menjaga pemakanan kerana larian memerlukan banyak tenaga untuk dibakar. Sekiranya mengamalkan diet tidak seimbang, badan akan menjadi lemah, muntah atau pengsan.

4. Jadikan tabiat

Tidak dinafikan bulan pertama larian akan berasa agak berat untuk dilakukan kerana masih belum biasa dengan rutin sebegitu. Beri masa kepada diri sendiri untuk biasakan diri. Paling penting fokus kepada matlamat dan tahu apa yang diinginkan.

5. Keselamatan

Pilih waktu yang bersesuaian untuk melakukan senaman agar tidak keseorangan. Sebaiknya peka dengan keadaan sekeliling dan jangan terlalu fokus dengan diri sendiri atau mendengar muzik terlalu kuat dengan menggunakan fon telinga. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram