BERSESUAIAN dengan ‘demam’ Piala Dunia yang melanda seluruh dunia, stesen radio popular, Suria FM tampil dengan aura tersendiri apabila menganjurkan acara Live #GRANDSTANDSURIA e-Sukan Piala Dunia 2022.
Acara yang berlangsung meriah itu memperlihatkan pempengaruh digital, Luqman Podolski mewakili pasukan Jerman dinobatkan sebagai pemenang utama dalam acara tersebut.
Sementara itu ahli kumpulan Kugiran Masdo, Putu Ceri (Croatia) berada di tempat kedua manakala penyanyi lagu Sudah Tak Cinta, Tomok (Sepanyol) di kedudukan ketiga.
Tidak hanya mereka, beberapa selebiriti lain turut hadir memeriahkan acara tersebut antaranya, Jaa Suzuran, Aman Aziz, Eric Floor 88, Amir Floor 88, Falique Floor 88 dan Akim Ahmad.
Selain itu, Syameer Azmi, Zulhadi, Mawi (Kugiran Masdo), Hakim Khan termasuk barisan penyampai radio Suria FM, Ajak, Shuib, serta Tyzo hadir memeriah majlis.
Menariknya, aksi dan gelagat selebriti yang terlibat dalam acara terbabit disiarkan secara atas talian menerusi platform digital media sosial Suria FM.
Berikut antara pandangan selebriti mengulas mengenai perlawanan E-Sukan yang berlangsung di Menara Star, Petaling Jaya, Selangor pada Rabu.
Tomok
Bapa kepada tiga orang cahaya mata ini menyifatkan aktiviti anjuran Suria FM itu sebagai satu ‘persaingan’ sihat antara kenalan artis terutama penggemar permainan video.
“Sekarang ini memang sedang demam World Cup, jadi ini satu perkara seronok buat kita yang bermain bola. Aktiviti sebegini juga memberi peluang untuk berjumpa dengan rakan-rakan artis,” katanya.
Biarpun pasukan kegemarannya, Belanda terpaksa pulang awal di Piala Dunia Qatar 2022, namun itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus menantikan pemenang dalam perlawanan tersebut.
“Saya memang layan sahaja kerana perlawanan kebanyakan lambat (lewat malam), tetapi saya mengharapkan pasukan Morocco (Maghribi) mampu memberi kejutan dan bergelar juara,” jelasnya.
Bagaimanapun ketika artikel ini ditulis, Maghribi sudah tersingkiri apabila tewas kepada Perancis dalam saingan separuh akhir pada Rabu.
Ajak
Perlawanan s-Sukan itu menjadikan simbolik sebagai tanda sokongan terhadap kehangatkan sambutan Piala Dunia 2022.
Tidak dinafikan pelawak dan penyampai radio segmen Morning Morning Suria itu berasa terkejut apabila melihat barisan selebriti sanggup turun padang hadir seawal pukul 9 pagi.
“Pagi-pagi lagi terperanjat tengok kerana ada rakan-rakan selebriti yang tidak sangka boleh memberi komitmen. Sambutan juga memang meriah,” katanya.
Mengulas mengenai permainan video, Ajak mengakui dirinya bukanlah peminat tegar kepada aktiviti tersebut.
“Sebenarnya yang datang ini tidak semua pun pandai main permainan video. Jadi, ini lebih daripada untuk mengeratkan hubungan antara penyampai radio dan selebriti,” ujarnya.
Eric Flood 88
“Ini satu perkara yang menyeronokkan kerana berpeluang untuk bersama dengan rakan-rakan. Selalu hanya dapat berjumpa ketika mengadakan persembahan,” jelasnya.
Eric atau nama sebenarnya Muhamed Eric Muhamed Fuzi, turut mengatakan bahawa dirinya bukannya seorang penggemar permainan video, apatah lagi memiliki kemahiran dalam aktiviti itu.
“Terus terang saya ini bukan seorang gamers. Selalunya jika bermain terutama permainan FIFA, saya hanya menjadi belasahan.
“Namun, untuk acara Suria FM ini saya sanggup mencabar diri untuk menyertai kerana dapat berjumpa dengan kawan-kawan dan bergembira,” katanya sambil ketawa.
Tyzo
Penyampai segmen Suria Petang, Tyzo tanpa berselindung memberitahu pengalaman pertamanya bermain permainan video Play Station 4 (PS4) pada acara tersebut.
Mengakui bukan mudah buatnya, tetapi Tyzo tetap berasa puas dan seronok kerana berpeluang untuk bersama dengan kenalan artis termasuk beberapa penyampai radio Suria FM.
“Ini merupakan kali pertama saya main PS4. Dahulu pernah ada Play Station 1, tetapi tidak bermain permainan seperti ini. Jadi, penyertaan saya sekadar suka-suka dan untuk seronok,” ujarnya.
Ketika disoal mengenai penyertaan penyampai radio wanita, dengan pantas Tyzo memberitahu: “Penyampai banyak yang sudah ‘tua’. Sebagai contoh, jika kita hantar Kak Rara (Sharifah Shahirah), tetap tidak akan berjaya. Apatah lagi penyampai wanita yang lain-lain, kerana mereka bukanlah suka bermain permainan video sangat.”
Meskipun begitu, Tyzo ‘mencadangkan’ agar acara perlawanan FIFA PS4 diadakan antara barisan penyampai radio Suria FM, bagi melihat kemahiran dan gelagat masing-masing ketika bermain permainan video. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram