MENCEBURI industri hiburan sekitar 1980-an, aktor Datuk Rosyam Nor mempunyai banyak pengalaman membawa pelbagai watak tidak mengira sama ada romantik, aksi atau drama.
Babak air mata lakonannya dalam cerita Pondok Buruk, Daun Ketupat Kering, Sekeras Kerikil dan Terputusnya Sebuah Doa mampu meruntun hati penonton.
Kualiti lakonan yang dipamerkan sudah cukup untuk menarik perhatian khalayak meskipun belum ditayangkan.
Begitulah tarikan pelakon berusia 55 tahun itu. Berbekalkan pengalaman empat dekad dalam industri membuatkan dirinya berada di kedudukan artis papan atas.
Tidak dinafikan sukar untuk mencari pelakon sepertinya yang masih kekal relevan meskipun berdepan dengan timbunan pelakon baharu. Posisi Rosyam atau nama lengkapnya Mohamed Noor Shamsuddin dilihat semakin utuh dan mengekalkan nilai eksklusif dengan memilih karya yang ingin dilakonkan.
Rosyam di majlis penganugerahan The Malaysia Book of Records First 24 Hours Upscale Whoesale retail market bersempena jualan gudang ST Rosyam Mart, Shah Alam.
Sikap selektif itu membuatkan Rosyam yakin dengan kekuatan karya terbabit mampu untuk menyerlahkan kemampuan lakonan dan mengukuhkan portfolio seninya.
“Pelakon perlu memilih karya yang mereka ingin terlibat. Memilih itu penting untuk menjaga kualiti dan cuba untuk mengawal menjaga kekerapan kemunculan di beberapa naskhah.
“Populariti itu penting, tetapi jangan terlalu bergantung dengannya kerana perkara tersebut akan memakan diri. Penonton sekarang bijak dan boleh menentukan artis mana yang boleh berlakon atau tidak.
"Sampai bila hendak mengharapkan populariti,” katanya ketika ditemui pada majlis penganugerahan The Malaysian Book of Records kategori Pasaran Runcit Borong Pertama 24 jam (First 24 Hours Upscale Wholesale Retail Market) di ST Rosyam Mart Shah Alam, Selangor minggu lalu.
Pelakon prolifk
Mengulas mengenai kejayaan lakonannya, Rosyam mengifatkan kerja keras, komitmen dan rasa tanggungjawab atas hasil kerja antara resipi yang membantunya untuk kekal dalam industri.
Rosyam menasihatkan kerja keras dan usaha antara perkara yang membantunya kekal berada dalam industri sehingga ke hari ini.
Dia tidak terlalu mengharapkan populariti untuk bertahan kerana baginya, itu bukan jaminan mahupun cerminan bahawa seorang pelakon itu memiliki kebolehan berlainan dalam menterjemahkan watak.
“Saya dulu waktu susah, jadi kerja keras dan usaha benda penting agar dapat meneruskan kerjaya. Jika tidak, payah untuk bertahan lama,” jelasnya.
Bagaimanapun, Rosyam tidak menolak bahawa 2023 akan mewujudkan fenomena iaitu pelakon baharu menggantikan hero dan heroin.
Aktor itu turut mengakui industri hiburan memiliki ramai pelakon baharu yang mampu menjadi pelapis, namun tiada antara mereka memiliki meterial ‘superstar’.
Bukan bermaksud masuk bakal angkat sendiri, tetapi Rosyam membuktikan apabila dirinya berjaya membawa gelaran Pelakon Lelaki Popular Anugerah Bintang Popular dari 1998, 1998 dan 2002 hingga 2008.
Pencapaian itu sudah cukup membuatkan dirinya berada di peterana berbeza berbanding aktor seangkatan dengannya.
“Setiap industri memerlukan superstar, barulah ada faktor wow. Sebagai contoh seperti Eman Manan, Fauziah Ahmad Daud, Erra Fazira, Datuk Awie atau saya sendiri. Sekarang saya tidak melihat industri kita apa elemen sebegitu.
“Jika kita lihat di Bollywood ada Shah Rukh Khan yang sehingga kini menjadi hero dan membuatkan industri seni mereka kelihatan gah,” ujarnya.
Untuk rekod memenangi trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Anugerah Festival Filem Asia Pasifik ke-44 pada 1999 bagi filem Lenjan dan Anugerah Sri Angkasa (2000) kategori Pelakon Lelaki TV Terbaik. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram