PERASAAN takut melampau dikhuatiri akan mengakibatkan seseorang terpesong akidah sehingga berlakunya pemujaan, kata pakar agama.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, jangan rendahkan nilai kita sebagai ciptaan ALLAH yang paling mulia.
"Kita ini manusia ciptaan ALLAH yang paling mulia. Benar syaitan, jin dan malaikat juga ciptaan ALLAH. Kewujudan mereka itu memang benar dan tidak boleh dinafikan.
"Namun, kita jangan terlalu takut sehingga taksub atau mencari-cari mereka. Perkara itu turut bimbang akan bertentangan dengan agama sekali gus mengakibatkan histeria.
"Cukup perasaan takut itu sama seperti kebimbangan kita jika bertemu dengan haiwan liar di hutan dan tidak perlu terlalu berlebihan," jelasnya kepada ketika dihubungi Majoriti.
Mohamad Shukri memberi reaksi tersebut bagi mengulas mengenai kejadian tular penampakan hantu pocong di Muzium Negeri Terengganu.
Dapatkan khidmat bantuan daripada pakar perubatan Islam jika benar terdapat wujudnya kehadiran makhluk halus.
Dalam kejadian itu, seorang pemilik akaun TikTok, @aq_map mendakwa menyedari kehadiran makhluk halus itu ketika ingin membuat suntingan rakaman yang diambil menggunakan dron.
Mengulas mengenai perkara itu, Mohamad Shukri menasihatkan agar dapatkan bantuan daripada pihak yang mahir dalam rawatan Islam atau sebagainya untuk mengatasi perkara itu.
"Jika kita tahu akan adanya kewujudan mereka, usaha untuk mendapatkan rawatan agar makhluk itu berpindah atau sebaliknya.
"Jangan hendak tunjuk hebat kerana berinteraksi dengan makhluk sebegitu perlukan kemahiran dan hanya golongan pakar sahaja yang mampu.
"Sama juga kalau kita bertembung dengan gajah atau harimau di hutan. Anggota Perhilitan tentu tahu bagaimana untuk mengawal situasi tersebut," katanya.
Hantu pocong itu dipercayai merupakan sebahagian daripada prop pemeran mengenai pengurusan kematian tetapi tiada pengesahan mengenai perkara itu.
Untuk rekod, Muzium Terengganu kini mengadakan pameran, Muzium Terengganu X Dinosaur Encounter bermula September 2022 hingga Februari 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram