Boleh undi calon bukan Islam tapi bersyarat — Mufti


  • Mukmin
  • Jumaat, 04 Nov 2022

Umat Islam disaran supaya memilih pemimpin Islam ketika pilihan raya.

KETIDAKSTABILAN politik pada penggal ini pasti mengelirukan rakyat untuk memilih ahli politik yang benar-benar layak menerajui negara.

Ini ditambah pula dengan pertukaran kerajaan sebanyak tiga kali dalam tempoh kurang lima tahun, perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah pentadbiran tanah air.

33b7987b-f85a-42a5-aa21-36589e326fd8

Sebagai sebuah negara Islam yang dikomposisi oleh majoriti umat Islam, Datuk Seri Abdul Rahman Osman menyarankan umat Islam supaya memilih pemimpin Islam ketika pilihan raya.

Mufti Pahang itu berkata, pemimpin bukan Islam pula boleh diundi sekiranya tiada calon beragama Islam lain di kawasan terbabit.

"Boleh juga undi sekiranya dia (calon bukan Islam) boleh membantu kerajaan Islam yang akan memerintah.

"Sekiranya calon tersebut bukan Islam dan tidak bersetuju dengan dasar-dasar Islam, calon tersebut tidak boleh diundi.

"Selain itu, misal kata sesebuah parti itu dilantik oleh umat Islam untuk membantu Islam manakala dasar yang dicipta tidak menyusahkan umat Islam itu tidak mengapa," katanya kepada Majoriti.

DSC_22331

Abdul Rahman

Beliau berkata demikian sebagai panduan kepada umat Islam yang bakal mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Abdul Rahman berkata, Malaysia mesti diperintah oleh pemimpin Muslim kerana statusnya sebagai negara Islam.

Beliau berkata, negara ini bukan sama seperti negara lain yang boleh melakukan apa sahaja kerana wujud hukum-hukum Islam.

"Hukumnya mesti taat kepada pemimpin yang perjuangkan Islam dan bukan perjuangkan parti.

"Kalau dibiarkan lama-lama, akhirnya negara ini dikhuathiri bertukar kepada negara bukan Islam.

"Kita mesti menegakkan Islam dan kita harap pengundi memilih pemerintah yang akan memenuhi Parlimen adalah orang Islam atau orang bukan Islam yang bersetuju dengan dasar-dasar Islam," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November 2022 sebagai hari pengundian bagi PRU15 dan tempoh berkempen selama 14 hari.

Sementara itu, tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 5 dan 15 November 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram