KISAH seorang peniaga yang diserang seorang lelaki dan wanita kerana didakwa berniaga menu sama iaitu nasi lemak masih hangat menjadi buah mulut orang ramai.
Video tular itu dipercayai berlaku di Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Insiden itu bertambah 'panas' apabila perkataan diucapkan wanita itu seakan-akan menyerlahkan sifat sombongnya kerana menganggap kawasan perniagaan tersebut adalah miliknya.
"Esok saya tak nak tengok nasi lemak ada di sini. DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) dah bagitahu kan?," soal wanita tersebut.
Susulan itu, video berdurasi lebih dua minit itu mengundang pelbagai reaksi dan komen negatif daripada orang ramai.
Perkara itu turut menarik perhatian pihak berkuasa apabila mereka bertindak menyerbu kedua-dua gerai peniaga tersebut selepas dipercayai beroperasi tanpa lesen.
Mengulas akan perkara itu, Datuk Dr Anhar Opir berpendapat bahawa, orang ramai terutamanya umat Islam sepatutnya percaya dengan percaturan rezeki ALLAH SWT.
"Islam menggalakkan umatnya agar berbincanglah dengan baik dalam kesemua perkara dan percayalah bahawa rezeki itu milik ALLAH," katanya kepada Majoriti.
Tambah Mufti Selangor itu, mana-mana pihak tidak sepatutnya bimbang dengan percaturan qada' dan qadar sehingga menyebabkan mereka gusar akan masalah kekurangan rezeki masing-masing.
Dalam masa sama, Anhar turut menyarankan agar setiap perbuatan kurang sopan tidak dibalas mana-mana pihak, sekali gus memperingatkan orang ramai agar tidak memilih untuk melakukan hasad dengki.
"Mangsa juga disarankan untuk tidak membalas semula perbuatan si penyerang," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram