HUKUMAN yang dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sudah tentu akan mendapat respons daripada pelbagai pihak.
Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dijatuhkan ke atas Najib, bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.
Difahamkan, ada yang bersedih dengan hukuman tersebut, lebih-lebih lagi ahli keluarga dan rakyat yang sudah lama menyokong kepimpinan beliau.
Malah, ada juga yang gembira dan bertepuk tangan dengan keputusan tersebut, yang sudah tentu diimpikan oleh kebanyakan pemimpin dan rakyat yang tidak menggemari keperibadian Ahli Parlimen Pekan itu.
Mohamad Shukri menegah orang ramai untuk tidak bergembira atas bala yang menimpa seseorang.
Tampil mengulas mengenai perkara itu, Datuk Mohamad Shukri Mohamed menasihatkan orang ramai, khususnya umat Islam agar tidak bergembira atas bala yang menimpa seseorang.
Hal ini kerana, Mufti Kelantan itu berkata, ia merupakan salah satu adab yang perlu dijaga dalam agama.
Beliau berkata, sesuatu bala tidak terkena pada seseorang individu sahaja, sebaliknya ia boleh berpindah kepada orang lain.
"Jadi, kita tak tahu siapa pula yang terkena bala seperti itu pada masa hadapan.
"Ini juga bermakna, kita tak boleh rasa bala yang terkena seseorang itu sama ada disebabkan kelakuannya atau disebabkan oleh orang lain, maka kita bergembira," katanya kepada Majoriti.
Oleh sebab itu, Mohamad Shukri berkata, Islam mengajar ucapan 'innalillahiwainna ilaihirajiun' yang dibacakan apabila seseorang dilanda malapetaka atau kematian.
Ucapan tersebut bermaksud setiap individu adalah milik ALLAH SWT dan semuanya akan kembali kepada-Nya.
"Kita mohon kepada ALLAH supaya dijauhkan daripada bala itu dan kita bersyukur kerana tak terkena bala tersebut.
"Dalam erti kata lain, hari ini hari awak, esok hari saya juga. Jadi, kita tak boleh gelak ketawa dengan sesuatu yang menimpa orang lain, tidak kira terhadap muslim atau bukan muslim," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram