BERGELEK-GELEK ketika majlis akikah jelas dilarang dalam Islam dan haram hukumnya dilakukan oleh seorang individu Muslim kata Mufti Terengganu, Prof Madya Dr Mohamad Sabri Haron.
Perkara itu bagi menjawab video tular gelekan seorang artis wanita yang juga usahawan di sebuah majlis akikah baru-baru ini.
Mohamad Sabri berkata, kebiasaannya orang yang bergelek-gelek juga akan membawa kepada tabarruj iaitu kelakuan memperlihatkan aurat dan perkara itu boleh menimbulkan fitnah.
"Dengan berjoget-joget sebegitu akan menimbulkan fitnah seperti ghairah. Ia bertentangan dengan roh akidah sebenar. Jika tak ikut prosedur akikah, sudah tentu perkara itu berlawan dengan apa yang diajari," katanya kepada Majoriti.
Bagaimanapun, sebelum menghakimi seseorang, Mufti Terengganu itu menjelaskan bahawa amat perlu untuk mengetahui niat mereka sehingga melakukan sedemikian rupa.
Hal ini kerana, menurut Mohamad Sabri, jika niatnya sengaja ingin mempersendakan Islam dengan menari di majlis akikah, maka ia amat dilarang bahkan boleh keluar daripada Islam.
Mufti Terengganu, Mohamad Sabri menjelaskan mengenai isu orang yang bergelek-gelek di majlis akikah.
"Kita tak tahu niat dia tapi dari cara penampilan itu, tidak sepatutnya jadi sebegitu rupa. Jika niat dia nak mempersendakan, amat dilarang bahkan boleh keluar daripada Islam jika dia memang nak hina sunnah dengan cara begitu.
"Tapi kita tak tahu niat dia, Mungkin dia jahil. Dalam Islam ada dua perkara. Satu niat ikhlas kerana ALLAH SWT. kedua menepati syariah, jadi kalau tidak menepati maka jelas haram.
"Walaupun dibayar maka dia akan jadi haram pendapatan itu. Sepatutnya cari kerja yang mengikut syariat," katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, individu yang menjemput orang lain atas tujuan untuk menghibur di majlis akikah juga dianggap sebagai bersubahat dan tidak menghormati perkara sunnah.
"Penganjur dianggap bersubahat. Kita tak tahu jika penganjur jahil atau sengaja. Tapi dari segi adat pun kita tak pernah buat benda begitu. Takkan mereka tidak pernah terfikir benda itu.
"Jadi mana-mana pihak perlu insaf. Kena ada perasaan dalam diri. Kalau kita benar-benar berakidah Islam, kita boleh rasa sesuatu. Kalau kita tak pasti bertanya dengan orang-orang yang tahu.
"Benda ini orang dah tahu, jadi kenapa nak mencemarkan majlis itu. Orang-orang kurang bijak pun sepatutnya tahu perkara ini. Jadi terlalu peliklah perkara ini berlaku," jelasnya.
Terdahulu, selepas menerima kecaman, Ifa Raziah membuat video dan mengatakan bahawa gelekan yang dilakukan ketika majlis tersebut berbayar dan bukannya dilakukan secara percuma.
Tambahnya, dengan cara itu dia dapat rezeki dan menyelar tindakan warganet yang hanya tahu bercakap tanpa memeriksa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram