Ritual masuk rumah: 'Kita nak halau syaitan, bukan nak puja'


  • Mukmin
  • Jumaat, 12 Ogos 2022

Tangkap layar video seorang lelaki (kanan) melakukan upacara sebelum mendiami rumah, disertakan dengan penggunaan bukhoor, pulut kuning dan bunga telur.

SETIAP agama dan kaum mempunyai kepercayaan sendiri ketika melakukan sesuatu perkara.

Baru-baru ini, seorang pengguna di laman TikTok memuat naik video upacara atau ritual sebelum mendiami sesebuah rumah.

Difahamkan, upacara tersebut merupakan amalan atau budaya masyarakat Melayu sejak dulu kala.

Video tersebut memaparkan seorang lelaki bersongkok sedang membaca ayat al-Quran, sambil menabur garam di sekitar rumah tersebut.

Namun, apa yang menarik perhatian orang ramai adalah upacara berkenaan turut disertakan dengan pulut kuning dan bunga telur.

Malah, penggunaan wangian dikenali sebagai bukhoor, yang menjadi tradisi orang Arab turut menjadi tanda tanya sama ada ia dikaitkan dengan amalan khurafat atau sebaliknya.

Hali ini kerana, penggunaan bukhoor yang mengeluarkan asap apabila dinyalakan seakan-akan menyerupai kemenyan sering kali dikaitkan dengan perkara mistik.

Tampil mengulas secara langsung mengenai perkara itu, Datuk Seri Abdul Rahman Osman berkata, amalan tersebut tidak bertentangan dengan agama Islam, sekiranya ia dilakukan seiring dengan bacaan ayat al-Quran.

Mufti Pahang itu berkata, penggunaan bukhoor juga adalah dibenarkan bagi menggantikan kemenyan kerana ia hanya berfungsi sebagai pewangi.

"Pulut dan bunga telur juga biasa orang ramai buat (untuk diberikan kepada tetamu). Itu adat Melayu.

"Selalunya apabila masuk rumah baru kita baca surah al-Baqarah untuk halang jin masuk.

"Kalau ada penyembahan dan pemujaan syaitan itu haram. Kita nak halau syaitan bukan nak puja syaitan," katanya kepada Majoriti.

Menerusi penjelasan mufti tersebut, maka jelaslah bahawa upacara sebelum mendiami rumah seperti dipaparkan dalam video tersebut tidak mempunyai unsur syirik.

Bagaimanapun, perlu berhati-hati bagi mengelak ia dilakukan dengan cara bertentangan Islam. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram