BARU-BARU ini, negara digemparkan dengan tindakan seorang wanita warganegara Malaysia, yang tanpa segan silu mengerjakan ibadah umrah dengan berpakaian ihram seperti seorang lelaki.
Perkara itu didedahkan oleh seorang pengguna Twitter, dikenali sebagai Aliya Mansor, yang dipercayai merupakan bekas teman wanita kepada pengkid tersebut.
"Berita tergempar, pengkid pergi umrah pakai ihram. M****s kau lah sana semoga kena panah petir tak pun lumpuh sebelum balik.
"Main-main dengan hukum ALLAH," ciap wanita itu.
Malah, Aliya juga berkongsi sebuah video yang memaparkan wanita terbabit berpakaian ihram mengerjakan umrah dengan dikelilingi jemaah lain.
Mohamad Sabri — Sinar Harian
Tampil mengulas mengenai perkara itu, Prof. Madya Datuk Dr Mohamad Sabri Haron berkata, orang ramai terutamanya umat Islam semestinya tidak mahu perkara tidak baik berlaku kepada orang lain.
Oleh itu, Mufti Terengganu itu berkata, umat Islam disarankan untuk mendoakan perkara yang baik-baik sahaja.
Cuma, katanya, perbuatan yang dilakukan oleh pengkid tersebut adalah salah dan tidak sepatutnya berlaku.
Tambahnya, setiap lelaki dan perempuan perlu memakai pakaian mengikut fitrah masing-masing, selain tidak boleh memakai pakaian yang menyerupai jantina berlainan.
"Sebelum ni perkara sama berlaku kepada Sajat, cuma jantina berlainan dan timbul masalah kepadanya.
"Kita tak mahu perkara ini berulang kepada sesiapa. Sepatutnya ia jadi pengajaran kepada orang lain," katanya kepada Majoriti.
Makkah merupakan tempat suci Islam, yang sepatutnya tidak boleh tercemar dengan perkara bertentangan dengan agama tersebut. — Agensi
Ketika ditanya mengenai balasan ALLAH SWT secara tunai ke atas pengkid tersebut, selepas ada yang mendoakan supaya dia dipanah petir, Mohamad Sabri berkata, semuanya bergantung kepada kekuasaan-Nya.
Beliau berkata, balasan atau bala ke atas seseorang manusia bukan hanya sekadar dipanah petir atau dilihat secara zahir.
Sebaliknya, beliau tidak menolak kemungkinan mereka akan berdepan dengan kecelaruan pemikiran, stres dan tidak tentu hala.
"Bila seseorang kecelaruan pemikiran, ada masalah dan sebagainya, itu satu bala.
"Tak semestinya bala itu boleh dilihat orang lain, tapi macam-macam ALLAH boleh beri.
"Kita minta jauh la semua itu dikenakan ke atas individu bahkan kepada negara," tambahnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram