'Festival arak undang musibah, negara hilang keberkatan di mata ALLAH' — Mufti


  • Mukmin
  • Khamis, 04 Ogos 2022

Oktoberfest yang merupakan acara budaya Jerman. — Agensi

KECOH di laman media sosial apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad menyatakan pendapatnya mengenai penganjuran Oktoberfest 2022.

Idris menegaskan bahawa perbuatan menjadikan minuman arak itu sebagai pesta dan dibuat secara terbuka kepada masyarakat awam tidak sepatutnya dibenarkan di Malaysia.

Idris berkata demikian sebagai menjawab soalan Lim Guan Eng (PH-Bagan) pada sesi pertanyaan lisan Dewan Rakyat pada 28 Julai 2022.

Guan Eng meminta perdana menteri menyatakan pendirian tentang sambutan Pesta Bon Odori dan Oktoberfest yang merupakan acara budaya Jepun dan Jerman.

Susulan itu, kenyataannya itu tidak disenangi oleh segelintir warganet kerana bagi mereka festival itu hanyalah sebahagian budaya orang bukan Islam di negara ini.

Turut memberi pendapat mengenai isu ini ialah Mutfti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamed.

Mohamad Shukri bersetuju dengan kenyataan Idris bahawa Oktoberfest tidak sepatutnya dilaksanakan di Malaysia kerana festival berkenaan hanya membawa kepada keburukan kepada masyarakat.

Beliau berkata, arak adalah lambang keburukan yang mana menerusi perbuatan itu, ia akan membawa kepada perkara negatif lain seperti penzinaan.

“Arak ini lambang kepada keburukan. Dia ibarat membuka keburukan kepada perkara maksiat lain seperti melakukan penzinaan, jenayah seperti pergaduhan.

“Jika dadah dah dilarang maka arak ini ibarat geng dadah kerana boleh merosakkan diri serta orang lain,” katanya kepada Majoriti.

Selain itu, apa yang dirisaukan oleh Mohamad Shukri adalah penganjuran festival berkenaan akan membuat negara hilang keberkatan di mata ALLAH SWT.

“Kita bimbang jika laksanakan festival sebegitu rupa negara kita makin hilang keberkatan, hilang kebaikan dimata ALLAH. Kenapa nak mendewa-dewakan perkara yang jelas dilarang ALLAH SWT.

“Oleh itu, jalankan festival arak itu jelas haram, kita semua tahu arak itu haram di sisi Islam,” jelasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram