HUBUNGAN suami isteri pasti akan diisi dengan gelak tawa bagi mencetuskan lagi keharmonian dan kebahagiaan rumah tangga.
Ada yang bergurau dengan cara menyakat pasangan ketika memasak, mengemas rumah, sedang uruskan anak dan yang terbaharu seiring dengan zaman yang semakin cangggih, terdapat juga yang merakam gurauan tersebut.
Namun, jika dilihat di media sosial, banyak video tular yang memaparkan gurauan ataupun prank antara suami isteri ini seakan meniru budaya Barat dan semakin hari ia dilihat sebagai trend untuk berbuat demikian.
Antara cara gurauan suami isteri yang dibuat dalam bentuk video ialah berpura-pura curang ataupun mempunyai hubungan dengan orang lain sehingga kelihatan riak wajah pasangan sangat marah dan kecewa.
Berhubung perkara itu, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, melakukan prank curang terhadap dalam kalangan suami isteri merupakan perbuatan yang diharamkan di sisi Islam.
"Perbuatan prank kononnya curang bagi mengejutkan suami atau isteri bukan sahaja menimbulkan panik dan takut, ia juga menimbulkan kebencian dan marah.
"Kesemua itu membawa kepada keburukan dalam kehidupan. Ia tidak membawa apa-apa kebaikan kepada hubungan rumah tangga bahkan boleh merosakkan hubungan antara pasangan," katanya.
Malah, menurutnya, perbuatan tersebut boleh menjatuhkan kewibawaan pasangan dan boleh menimbulkan buruk sangka terhadap diri yang mana diharamkan oleh syarak.
"Sengaja menimbulkan buruk sangka orang terhadap diri adalah berdosa kerana sengaja menyebabkan orang lain berdosa," katanya menerusi penulisan dalam laman web rasmi Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Dalam pada itu, beliau juga menambah, gurauan suami isteri dibolehkan dan mendapat pahala namun perlu dilakukan dengan niat serta cara yang betul.
"Gurau senda yang membawa kemesraan antara suami isteri digalakkan oleh agama sehingga Nabi Muhammad SAW menyebut kepada Jabir bin ‘Abd Allah ketika menggalakkan beliau berkahwin dengan anak dara:
"Mengapa tidak anak dara, engkau bermain dengannya, dia bermain denganmu, engkau menjadikan dia ketawa dan dia menjadikanmu ketawa.” - (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).
"Namun, gurauan yang boleh menimbulkan salah faham, atau kebencian, atau ketakutan, atau merendahkan maruah, atau penghinaan dan atau apa-apa kesan yang buruk adalah haram di sisi syarak. Kata al-Imam al-Nawawi," jelasnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram