Jauhi agama baharu galak seks mula bertapak di Malaysia


  • Mukmin
  • Rabu, 23 Mac 2022

VORILHON didakwa menyampaikan ajaran ke Jepun dan Korea Selatan manakala di negara-negara Asia Tenggara lain pula, misionari ajaran berkenaan dihantar untuk menyebarkan pengaruh ajaran itu kepada masyarakat Asia.

SEKS bebas sememangnya diharamkan dan dilarang oleh agama terutamanya agama Islam, namun berbeza dengan ajaran baharu yang didakwa mengalakkan pengikutnya untuk mempraktikkan perkara terkutuk itu.

Pendakwah terkenal, Ahmad Iqram Mohamad Nor dalam satu kiriman video di Facebooknya menceritakan mengenai agama baharu, Raelianisme yang terkenal dengan amalan seks bebas dan pengikutnya dilihat mengenakan pakaian yang kurang sopan.

Raelianisme diasaskan oleh seorang warga Perancis bernama Claude Maurice Marcel Vorilhon yang lahir di Perancis pada 30 September 1946 dan ajaran itu membawa kepercayaan bahawa ada spesis makhluk asing yang dikenali sebagai Elohim.

vorilhon

PENGASAS Raelianisme, Claude Maurice Marcel Vorilhon.

Pada Disember 1974, berdasarkan ideanya, dia menubuhkan satu gerakan keagamaannya dan mula menukar namanya kepada gelaran Rael atas pemberian dari Elohim yang mana istilah itu berasal dari perkataan Israel bermaksud 'utusan orang-orang yang datang dari langit'.

Setahun selepas itu, Vorilhon mengumumkannya bahawa dia telah dihubungi oleh Elohim dan membawanya untuk mengunjungi planet mereka.

Di planet itu, dia mendakwa ditawarkan oleh enam wanita robot biologi untuk melakukan hubungan seks dan melihat Elohim membuat klonnya serta mengajar teknik meditasi sensual.

Raelianisme percaya bahawa sekitar 25,000 tahun yang lalu, Elohim tiba di bumi yang kosong dan Elohim menggunakan teknologi canggih untuk mewujudkan semua kehidupan di dunia.

Vorilhon mendakwa, manusia adalah robot biologi yang telah dibuat dan diprogramkan oleh Elohim.

Malah, ajaran itu percaya tokoh-tokoh agama sepanjang sejarah manusia termasuk Jesus, Buddah, Nabi Muhammad dan Joseph Smith sebagai individu yang mendapat petunjuk Elohim.

Pengasas ajaran itu mendakwa bahawa dirinya adalah nabi Elohim yang ke-40 dan yang terakhir dihantar manusia untuk mengajar kebenaran tentang Elohim.

Ramai yang mendakwa pada tahun 1980, Raelian telah mulakan misi penyebaran agama mereka ke Jepun, Afrika serta Australia dan sehingga kini ia masih berkembang.

Pengasasnya juga cuba menyampaikan ajaran ke Jepun dan Korea Selatan manakala di negara-negara Asia Tenggara lain pula misionari-misionari Rael dihantar untuk menyebarkan pengaruh ajaran itu kepada masyarakat Asia.

Antara amalan terkenal dalam Raelianisme adalah meditasi sensual yang mana digariskan oleh Vorilhon di dalam bukunya La Meditation Sensualle pada tahun 1980.

Penganutnya digalakkan untuk mengamalkan meditasi atau visualisasi setiap hari dengan tujuan untuk menyampaikan cinta dan tautan telepati kepada Elohim.

Selain itu, ajaran Raelianisme juga mempromosikan seks bebas dan mempraktiskan idea perlu bersikap keperempuanan seperti kebudayaan Elohim di planet mereka.

Oleh itu, di bawah Raelianisme itu ditubuhkan satu gerakan bernama Aramis International yang mempromosikan amalan seks bebas dan LGBT dipimpin cara amalan spritual.

Menurut Ahmad Iqram, agama Raelianisme adalah membawa ke arah fahaman ateisme dengan menafikan kewujudan Tuhan tetapi dipesongkan kepada kewujudan UFO yang sebenarnya disangka sebagai tuhan oleh kebanyakan orang-orang terdahulu.

Gerakan ajaran berkenaan masih aktif sehingga sekarang dan mereka memiliki misionari untuk menyebarkan pengaruh ajaran Raelianisme ke seluruh dunia.

Misionari Raelianisme didapati telah beberapa kali datang ke Malaysia bermula pada tahun 2015 sehingga melaksanakan komuniti maya untuk Malaysia dengan membuat satu halaman di Facebook bernama Malaysian Raelian Movement.

rael 3

ANTARA misionari Raelianisme di Malaysia.

Selain itu, pasangan misionari Raelian dari Thailand juga dikesan telah masuk Malaysia dengan mempromosikan laman sesawang utama Raelianisme melalui baju-baju mereka yang dipakai di kawasan khalayak ramai

Seperti yang diketahui bahawa dalam ajaran Raelianisme, mereka menekankan kaedah meditasi sensual dan misionari serta berusaha menyebarkan dakyah di Kuala Lumpur dengan mengajak orang ramai menyertai meditasi bersama mereka dengan tema "Mediate With Us 1 Minute For Peace". — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram