MENJELANG ketibaan bulan Ramadan, pasti ada antara kita sedang menghitung jumlah puasa ganti yang ditinggalkan pada tahun terdahulu atau sebelumnya.
Atas sebab apa sekali pun kita meninggalkan puasa tidak kira secara sengaja atau tidak, kita diwajibkan untuk menggantikannya sama ada dengan qada puasa atau membayar fidyah.
Umum mengetahui bahawa bagi mereka yang tidak mampu menggantikan puasa atas faktor usia dan kesihatan, Islam memudahkan golongan ini dengan membayar fidyah seperti yang termaktub dalam al-Quran.
Dalam surat al-Baqarah ayat 184, ALLAH berfirman, "Maka barang siapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan (lalu tidak berpuasa), maka (wajib mengganti) sebanyak hari (yang dia tidak berpuasa itu) pada hari-hari yang lain. Dan bagi orang yang berat menjalankannya, wajib membayar fidyah, iaitu memberi makan seorang miskin. Tetapi barang siapa dengan kerelaan hati mengerjakan kebajikan, maka itu lebih baik baginya, dan puasa mu itu lebih baik bagi mu jika kamu mengetahui."
Tetapi persoalannya, bagaimana kiraan bayaran fidyah jika seseorang umat Islam itu meninggalkan puasa dengan jumlah yang banyak sehingga bertahun-tahun.
Kes ini pernah diajukan ke Lembaga Zakat Selangor apabila seorang warga emas berusia 65 tahun mengaku bahawa dia tidak pernah berpuasa sejak akil baligh dan mahu membayar fidyah sebagai ganti.
Mengulas lanjut perkara ini, Ketua Jabatan Dakwah dan Perundingan, Divisyen Syariah dan Dakwah, Lembaga Zakat Selangor, Hamizul Abdul Hamid berkata, peristiwa itu berlaku pada tahun 2003 ketika beliau bertugas sebagai pegawai zakat di sebuah daerah di negeri itu.
"Saya tanya lelaki itu sudah berapa lama tidak berpuasa. Dia beritahu sejak akil baligh dia tidak puasa. Katalah umur dia 65 ketika itu, tolak usia akil baligh semasa 15 tahun, bererti dalam 50 tahun juga dia tidak berpuasa.
"Pada waktu itu, Selangor memfatwakan kiraan fidyah berganda. Jadi saya perlu kirakan fidyah lelaki itu dalam gandaan iaitu jumlah fidyah (RM2.00) kali dengan jumlah hari tidak berpuasa (30 hari) kali tahun-tahun yang dia tinggalkan puasa (50 tahun)," katanya.
"Kiraan itu akan diulang untuk ketika umurnya 15, 16 dan sehingga 50 tahun. Disebabkan penggandaan, jumlah tersebut akan ditambah secara keseluruhan. Jadi memang banyaklah dia bayar," katanya kepada Majoriti.
Berdasarkan perkiraan kasar Majoriti, jika seseorang itu meninggalkan puasa selama 50 tahun, dia perlu membayar kira-kira RM70,000.
BEZA bayaran fidyah berganda dan tidak berganda di Kedah dengan kadar RM1.80 bagi tempoh 50 tahun jika tidak berpuasa.
Bercerita lanjut kisah lelaki itu, Hamizul berkata, selepas dimaklumkan tentang jumlah yang perlu dibayar, warga emas itu meminta izin untuk pergi disebabkan ketidakcukupan wang untuk membayar fidyah.
Sehingga kini, Hamizul tidak pernah berjumpa dengan lelaki itu dan dia merasakan sama ada warga emas itu membayar di cawangan lain ataupun masih belum membayar fidyah puasanya lagi.
"Pada tahun 2014, Jawatankuasa Fatwa Selangor keluarkan fatwa bahawa bayaran gandaan fidyah tidak wajib. Saya legalah sebab saya pernah jumpa kes begitu bukan sekali tapi berkali-kali.
"Saya berharap sangat jika lelaki itu masih hidup untuk datang bayar fidyah kerana sekarang tidak wajib bayar berganda. Cukup untuk ambil 50 tahun saja.
"Jadi fidyah tidak banyak sangat. 30 hari x RM2.00 x 50 tahun hanya RM3,000 sahaja dia perlu bayar. Tidak sampai berbelas ribu," tambahnya.
Dalam pada itu, beliau juga berkata, sepanjang mengutip bayaran fidyah, ramai golongan lelaki yang tidak berpuasa mahu membuat pembayaran disebabkan sikap mereka yang malas berpuasa.
"Saya rasakan ini ialah sikap yang mana tidak ingin puasa. Mungkin orang lelaki ini malas sikit. Kalau perempuan kita faham mungkin penat sebab bersalin, dengan tempoh nifas dia lama ataupun setiap bulan datang bulan.
"Alasan untuk lelaki tidak berpuasa hanya dua sebab dibolehkan iaitu musafir dan sakit," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram