BABAK panas pelakon Zul Ariffin dalam drama terbaharu lakonannya mencetuskan kontroversi dan mengundang kecaman orang ramai, apatah lagi ia bakal disiarkan pada bulan Ramadan ini.
Menerusi video dimuat naik di laman Instagramnya, Zul dilihat melakonkan beberapa babak panas dengan pelakon baharu, Siti Hariesa.
Antara yang mencuri perhatian adalah ketika Zul merangkul badan Hariesa dan menggendong wanita itu dari depan.
Tidak hanya itu, terdapat juga babak agak mengghairahkan ketika Hariesa menyuapkan 'whipped cream' ke dalam mulut Zul sebelum dia menghabiskannya.
Namun, video tersebut telah dipadam oleh pelakon berusia 35 tahun itu.
Tampil memberi teguran, Asma' Harun meskipun babak itu adalah satu lakonan namun ia benar-benar dilakukan.
Pendakwah bebas itu berkata, sekiranya babak itu dilakukan tanpa perasaan, ini bermakna sudah terlalu kurang deria rasa berdosa hingga tidak rasa apa-apa.
"Tolong jangan salah guna kemahiran, harta dan pengaruh yang kita miliki untuk promosikan perkara maksiat tersembunyi yang dicintai syaitan tetapi dibenci ALLAH, kerana bukan pahala sahaja yang ada jariah (berterusan), tetapi dosa juga ada jariah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Rasulullah SAW bersabda: "Siapa menjadi pelopor kepada suatu kebaikan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya ganjaran seperti ganjaran orang yang mengikutinya tanpa mengurangi ganjaran yang mereka peroleh. Sebaliknya, siapa menjadi pelopor kepada suatu keburukan lalu diamalkan oleh orang sesudahnya, maka akan dicatat baginya dosa seperti dosa orang yang mengikutinya, tanpa mengurangi dosanya sedikit pun,” — Hadis Riwayat Muslim
Mengulas lanjut, Asma' Harun memahami bahawa, industri perfileman memerlukan pihak pengarah atau penerbit untuk menekankan mesej yang mahu disampaikan kepada penonton sama ada melalui skrip, setiap babak yang dirakam, seni videografi, muzik dan sebagainya.
Beliau juga tidak menafikan terdapat kes penceraian disebabkan suami atau isteri berlaku curang ketika beliau bertugas sebagai perunding cara keluarga suatu ketika dahulu.
"Namun tidak perlu pun untuk zahirkan babak lucah seperti itu di kaca televisyen untuk sampaikan mesej yang umum sudah ketahui keburukannya. Percayalah, penonton akan serap lebih banyak perkara negatif berbanding positif.
"Dalam Islam, kaedah fiqh ada mengatakan bahawa matlamat tidak menghalalkan cara," katanya.
Pada masa sama, Asma' Harun berkata, pasti banyak lagi cara untuk menyampaikan mesej yang baik, tambahan pula banyak filem yang berjaya mendapat tempat dan sambutan di hati masyarakat meskipun tiada babak-babak intim yang mengghairahkan.
Justeru, beliau memohon orang ramai supaya tidak membudayakan adegan 'soft pornography' kepada masyarakat, apatah lagi di platform umum yang menjadi tontonan semua lapisan masyarakat seperti televisyen.
"Bimbang kononnya mesej baik hendak disampaikan, sebaliknya perbuatan buruk yang generasi muda amalkan.
"Maaf andai penulisan ini dilihat keras dan tegas tetapi adegan yang dipromosikan itu memang melampau.
"Bagi saya, andai ada yang berani sebarkan kemungkaran, selayaknya perlu ada juga yang berani tegakkan kebenaran," katanya.
Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran 3:104: "Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, dan mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram