Malam Nisfu Syaaban, malam yang tidak mati


  • Mukmin
  • Khamis, 17 Mac 2022

ANTARA malam mustajab untuk berdoa ialah malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama pertama Rejab dan malam Nisfu Syaaban. — Gambar Hiasan

DOA yang termakbul antara impian semua umat Islam terutamanya selepas berusaha dengan gigih dan pastinya ramai yang akan mencari peluang untuk berdoa dalam waktu-waktu yang dikatakan mustajab dalam Islam.

Penceramah bebas, Ustaz Don Daniyal Don Biyajid berkata, Imam Syafie menuliskan dalam kitab Al-Umm bahawa terdapat lima malam yang boleh dimanfaatkan oleh umat Islam untuk melakukan doa yang mudah dikabulkan.

Antara malam tersebut termasuklah malam Jumaat, malam Aidiladha, malam Aidilfitri, malam pertama pertama Rejab, dan malam Nisfu Syaaban.

Menerusi ceramah siaran langsung di laman Facebook rasmi Ustaz Don Daniyal pada Selasa, beliau berkongsi bahawa jangan mensia-siakan hari 17 Mac 2022 nanti bersamaan malam Jumaat dan malam Nisfu Syaaban kerana malam itu adalah malam ALLAH SWT memustajabkan doa.

"Point dia khamis ni, 17 hari bulan tiga. Hari Khamis malam Jumaat dan juga jatuh malam Nisfu Syaban. Jadi ada dua sebab, malam itu ALLAH pasti memustajabkan doa.

"Sebab itu saya beritahu berita ni nak galakkan semua orang. Tolonglah kalau boleh baca Yassin tiga kali, baca. Kalau tak boleh baca Yassin tiga kali, buat majlis pasang Al-Quran, pasang qasidah. Larikan semua TV, Smart TV, Android TV.

"Dalam kereta masa perjalanan balik kerja, buka Al-Quran, buka qasidah, puji Rasulullah, selawat. Buka lampu semua, meriahkan rumah. Bagi ayah baca kitab, mak baca kita dan makan ramai-ramai sama. Sebab itu malam Nisfu Syaaban dikatakan malam yang hidup, tidak mati," katanya.

Menurutnya, bagi sesiapa yang menantikan doanya dimakbulkan ALLAH SWT, jangan lupa manfaatkan malam Jumaat nanti iaitu 17 Mac 2022 dengan penuhkan ibadah dan sentiasa banyakkan berdoa.

Rasulullah SAW bersabda dalam satu hadis yang diperakui oleh ulama sebagai hadis yang paling sahih berkaitan dengan kelebihan malam Nisfu Syaaban: “ALLAH akan muncul (rahmat dan pengampunannya) kepada seluruh makhluk-Nya pada malam Nisfu Syaaban dan mengampunkan seluruh makhluk-Nya kecuali orang yang mensyirikkan ALLAH dan orang yang saling bermusuhan.” — [ HR Al-Tabrani ] Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram