RAMAI warganet di Malaysia yang menumpukan perhatian terhadap kes kematian pelakon Thailand terkenal Tangmo Nida sehingga ada yang sanggup membuat video kronologi dan ada juga yang sanggup berhari-hari menghabiskan masa memikirkan kes itu.
Terlalu memberi fokus terhadap kematian menimpa Tangmo Nida seperti yang dilakukan oleh warganet terutamanya dalam kalangan orang Melayu Islam itu membuat Ustaz Kazim Elias menegur perbuatan mereka iaitu terlalu sibuk memikir hal yang tidak erlu.
"Orang kita ni tiada kena mengena dengan dia, dia sibuk. Aktres Thailand mati, Tangmo. Sibuk siang malam, siapa bunuh dia kesian. Siang malam cerita.
"Tiada kena mengena dengan kita pun. Nak kata sepupu pun tidak, anak saudara pun tidak, sibuk hal orang," katanya ketika menyampaikan ceramah di salah sebuah masjid dengan menyentuh isu tak penting untuk difikirkan.
Kazim Elias berkata, orang Melayu semakin pelik apabila beliau melihat lebih banyak membicarakan tentang Tangmo lebih daripada bercakap mengenai Ramadan yang bakal tiba pada bulan April nanti.
"Tiada kena mengena dengan dia, sibuk bincang. Siang malam bincangkan hal Tangmo, banyak hal lagi yang boleh dibincangkan," katanya.
Dalam pada itu, bagi pendakwah bebas Ustaz Elyas Ismail pula mendedahkan di laman Tiktoknya, ada warganet yang berkongsi kepada beliau bahawa mereka bermimpikan Tangmo.
Elyas berkata dalam laman TikToknya, mimpi itu hadir berkemungkinan berpunca daripada psikologi gara-gara mengikuti perkembangan aktres itu dan beliau berpesan jangan terlalu takut kerana itu hanya mainan tidur.
"Bagi kita orang Islam, kalau mimpi macam itu, kita jangan keterlaluan sangat nak takut, bimbang. Mungkin boleh jadi sebab kita banyak fikir, baca dan ikuti perkembangan kes tersebut. Maka, itu boleh menyebabkan kita mimpi," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram