Islam benar poligami, namun ada syaratnya


  • Mukmin
  • Ahad, 13 Mac 2022

WANITA tidak semestinya diwajibkan untuk menerima perkahwinan poligami. — Gambar Hiasan

SEORANG wanita Islam yang dibesarkan di Amerika Syarikat dan mempunyai latar belakang daripada keluarga yang mengamalkan poligami mempunyai pelbagai persoalan yang bermain di fikirannya.

Wanita itu berkongsi bahawa dia ingin membuang tradisi poligami itu dari hidupnya dan dia berpakat dengan calon suaminya sebelum berkahwin.

Dia berkata, jika suaminya memutuskan untuk berpoligami dalam perjalanan perkahwinannya, wanita Islam itu akan meminta untuk bercerai.

Namun, dia meragui sama ada penceraiannya itu akan mendapat murka ALLAH SWT.

Memetik laman sesawang About Islam, pensyarah kanan dan cendekiawan Islam di Institut Islam Toronto, Ontario, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty berkata, wanita tidak semestinya diwajibkan untuk menerima perkahwinan poligami.

Dalam Islam, katanya, monogami adalah ideal dan poligami adalah pengecualian.

ALLAH berfirman dalam Al-Quran surat An-Nisa ayat 3 yang bermaksud: “Dan jika kamu risau tidak akan mampu berlaku adil terhadap (hak-hak) perempuan yatim (bilamana kamu menikahinya), maka nikahilah perempuan (lain) yang kamu senangi: dua, tiga atau empat. Tetapi jika kamu risau tidak akan mampu berlaku adil, maka (nikahilah) seorang saja, atau hamba sahaya perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat agar kamu tidak berbuat zalim.”

Ayat tersebut menjelaskan bahawa Islam membenarkan perkahwinan lebih dari satu, dalam konteks janda yang mempunyai anak yang bapanya syahid agar perkahwinan mereka menjadi penyelesaian dengan menyediakan rumah untuk anak-anak.

“Apalagi syaratnya, jika kamu takut tidak berlaku adil (kepada wanita yang kamu nikahi), maka kamu tidak boleh menikah lebih dari satu,” kata Ahmad Kutty.

Oleh itu, Imam Muhammad Abduh menyimpulkan bahawa perkahwinan monogami dalam Islam adalah ideal, manakala poligami adalah pengecualian yang hanya dibenarkan dalam kes luar biasa.

"Jadi, memandangkan anda mempunyai perjanjian bahawa anda tidak membenarkan suami anda mengambil isteri kedua, dia terikat dengan syarat kontrak," katanya.

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Dari semua kewajiban kontrak, persyaratan kontrak pernikahan lebih utama daripada yang lain,” Hadis Riwayat al-Bukhari

"Dengan menandatangani kontrak sedemikian, anda sama sekali tidak membuat ALLAH murka kerana melanggar perintah-Nya," kata Ahmad Kutty. Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram