Adab dalam kalangan graduan universiti


  • Massa
  • Selasa, 15 Mac 2022

ADAB seorang graduan dilihat menjadi penentu sebelum memasuki industri pekerjaan yang sebenar. — Gambar hiasan/IIUM Today

Tanggal 31,

Bulan 8, 57,

Merdeka! Merdeka!

Tetaplah merdeka,

Ia pasti menjadi sejarah....

LIRIK di atas merupakan sebahagian daripada lagu Tanggal 31 yang didendangkan oleh Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad. Irama dan lagu tersebut tidak dapat dipisahkan. Andai dipisahkan, rosaklah lagu dan pincanglah irama.

Ini merupakan simbolik kepada graduan universiti yang mana kita dapat melihat, begitu ramai graduan yang mempunyai keputusan Cumulative Grade Point Average (CGPA) yang tinggi, namun perkara ini harus selari dengan adab sebagai seorang mahasiswa dan mahasiswi.

Graduan universiti harus memahami bahawa adab ibarat bunga pada diri seseorang. Hal ini kerana, bunga sentiasa indah dipandang mata dan juga mampu menarik hati sesiapa yang melihatnya. Dalam kehidupan sebagai seorang pelajar, mereka sentiasa terikat pada panduan dan juga peraturan supaya tidak melanggar had yang telah ditetapkan.

Konsep adab ialah berasal dari kalimah Arab yang membawa maksud kesenian, kehalusan dan juga kesantunan manakala kata berlawanan bagi adab ialah biadab. Adab juga sering kali dikait rapat dengan kehidupan seseorang dan paling penting ialah bagaimana seseorang berinteraksi dengan manusia lain.

Sebagai mahasiswa/mahasiswi universiti, mereka seharusnya tahu dan sedar akan adab dalam menuntut ilmu dari pensyarah mereka.

Kesantunan berbahasa dalam berbicara

Sering kali kita melihat senario yang mana pelajar-pelajar telah meluahkan rasa kekecewaan terhadap pensyarah mereka. Ada yang menyuarakan bahawa para pensyarah telah memberikan tugasan dengan banyak, tidak cakna dalam hal pembangunan pelajar dan sebagainya.

Bagaimana pula dengan pendapat seorang pensyarah yang mengajar pelajar tersebut? Adakah pensyarah tersebut mempunyai cerita di sebalik 'tugasan yang banyak yang diberikan kepada pelajar tersebut'?

Bagaimanakah adab seorang pelajar apabila meraka diberikan tugasan sedemikian? Kita sering kali melihat para pelajar yang meluahkan rasa kekecewaan melalui media sosial dan jika kita perhatikan dengan teliti, penggunaan bahasa yang digunakan oleh graduan bagi meluahkan rasa kekecewaan amat mendukacitakan dan seterusnya menimbulkan persoalan dalam kalangan pensyarah 'Di manakah adab dalam menuntut ilmu sebagai seorang pelajar?'

Berbicara mengenai adab ini, pernah sekali kita dikejutkan dengan kejadian yang mengecewakan di sebuah universiti awam tempatan yang terunggul, yang mana kita digemparkan dengan sikap seorang graduan yang mempamerkan sikap yang agak 'biadab' dengan terbuka semasa upacara istiadat konvokesyen dengan melaungkan prostes di atas pentas.

Secara amnya, istiadat konvokesyen dikatakan mempunyai nilai yang tinggi kepada seluruh warga universiti, termasuk staf akademik, staf sokongan dan juga kepada graduan itu sendiri kerana melambangkan intelektual serta ketinggian ilmu graduan tersebut.

Sebagai seorang graduan, meraka harus sedar bahawa keberkatan ilmu itu bergantung kepada adab graduan terhadap pensyarah mereka yang telah berusaha keras untuk mencurahkan segala ilmu kepada bakal pemimpin negara pada suatu masa kelak.

Saban kali kita melihat segelintir graduan telah mempersoalkan relevan tugasan yang telah diberikan kepada mereka. Jika mereka mempersoalkan pensyarah mereka dengan menggunakan bahasa yang elok, itu tidak mengapa. Ada juga situasi yang mana pelajar tidak menggunakan bahasa yang tidak santun ketika berhubung dengan pensyarah mereka melalui aplikasi WhatsApp ataupun emel.

Seperti contoh, saya pasti, ada dalam kalangan pensyarah ataupun staf sokongan yang menerima emel daripada pelajar yang tidak mempunyai tajuk dan juga rangka email, dan ini telah menimbulkan satu persoalan iaitu 'Apakah pelajar ini hendak cuba sampaikan?' 'Apakah yang patut kami lakukan selepas menerima emel tersebut?'.

Bagi sesetangah golongan, menganggap hal ini bukanlah sesuatu isu yang besar, akan tetapi bagi seorang pendidik perkara tersebut mencerminkan adab seseorang pelajar.

Contoh yang kedua, ada juga segelintir pelajar yang menghantar WhatsApp kepada pensyarah pada masa yang tidak tepat, seperti waktu tengah malam. Jika berkeperluan, itu tidak mengapa. Namun, sebagai seorang graduan, mereka perlu memberikan ruang kepada para pensyarah mereka untuk beristirahat, terutama pada waktu tengah malam.

Tuntutan adab menuntut ilmu

Adab seorang pelajar bagi saya amatlah penting untuk menjamin masa hadapan mereka. Para graduan perlu diingatkan bahawa, sejurus mereka menamatkan zaman universiti, mereka akan memasuki alam pekerjaan dan seterusnya mengorak langkah yang lebih besar di dalam industri.

Perlu diingatkan bahawa mereka akan bekerja dengan orang yang lebih berumur, mahupun orang yang jauh berpengalaman dari mereka yang baru sahaja menamatkan pelajaran mereka.

Sekiranya mereka masih terbawa-bawa adab yang kurang sopan ketika di universiti, agak mustahil untuk mereka berjaya di dalam sesebuah industri yang mana mereka akan sentiasa berhadapan dengan cabaran dan dugaan.

Sampai ke hari ini, saya masih ingat kata kata dari bekas Pengarah UiTM Terengganu, Allahyarham Prof Madya Tengku Yusoff Tengku Mahmud yang mana beliau berkata kepada saya, 'Amirul, sebagai seorang pelajar, kamu kena ingat bahawa, menunjukkan adab yang baik kepada pensyarah ketika belajar, merupakan salah satu dari resipi kejayaan seseorang pelajar' dan saya masih berpegang kepada kata kata beliau sehingga ke hari ini.

Sebagai seorang pensyarah, saya amat berharap agar graduan hari ini dapat memahami apakah itu adab kerana keberkatan ilmu yang mereka dapat dari para pensyarah bergantung pada adab yang mereka tonjolkan.

Sebagai seorang pendidik, perkara ini amat mengecewakan sekiranya para pelajar tidak menunjukkan adab yang baik. Hal ini kerana, mencerminkan adab yang baik akan mendorong pelajar tersebut untuk menjadi rakyat Malaysia yang lebih harmoni dan bertoleransi antara satu sama yang lain.

Akhir kata, tiada gunanya sekiranya seseorang pelajar memiliki segulung ijazah jika hidup tidak beradab. Semoga ALLAH membimbing kita semua dan mengurniakan kita adab yang diredai ALLAH SWT. — Majoriti

Dr Al Amirul Eimer Ramdzan Ali,

Pensyarah Kanan,

Kulliyyah Bahasa dan Pengurusan,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

*Ini merupakan pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram