IBU bapa pastinya mahukan yang terbaik untuk anak-anak termasuk soal jodoh sehingga mereka sering bertanya dengan anak mereka terutamanya perempuan, namun bagaimana pandangan Islam tentang situasi itu?
Bekas Dekan Fakulti Agama Islam Universiti Al-Azhar Kaherah Mesir, Sheikh Dr Mabruk Attia berkata, ibu bapa perlu mendengar pendapat anak-anak tanpa memberi tekanan dalam memilih pasangan hidup kerana tiada paksaan dalam perkahwinan.
"Wali berhak mengikuti apa yang diketahuinya, tetapi tidak boleh memaksa orang yang ada di bawah perwaliannya untuk menikah, kerana dia tidak memiliki kuasa untuk itu," katanya dalam laman Masrawy.
Malah, menurut Sheikh Attia, seorang wanita berhak menolak mana-mana lelaki yang ingin mengahwininya, walaupun keluarganya bersetuju dia bertunang dengan lelaki tersebut.
"Lelaki mana pun yang akan berkahwin perlu memastikan calon pengantin perempuan setuju untuk menjadi pasangannya," katanya.
Syekh Attia juga sempat menceritakan kisah anak perempuan Rasulullah SAW iaitu Sayyidah Ummu Kalthum dan Sayyidah Ruqayah.
Ketika zaman Jahiliyah, Abu Lahab telah menjodohkan anak-anak lelakinya dengan puteri-puteri Nabi iaitu anak sulungnya Utbah dengan Ruqaiyyah, dan anak keduanya Utaibah dengan Ummu Kalthum.
Sebelum majlis pernikahan itu, Rasulullah SAW meminta izin terlebih dulu kepada dua anak perempuannya itu untuk berkahwin dengan dua anak lelaki Abu Lahab.
Tetapi, kebahagiaan itu hanya sementara apabila Muhammad diangkat oleh ALLAH menjadi Rasul, Abu Lahab telah menjadi penentangnya yang utama dan dia menyuruh kedua-dua anak lelakinya menceraikan isteri masing-masing.
Atas desakan ayah mereka, Utbah dan Utaibah pun menceraikan dua anak perempuan Rasulullah SAW. Setelah diceraikan dan dipulangkan, Nabi SAW berkata kepada dua puterinya itu, "Jangan takut, jangan bersedih. ALLAH SWT akan menggantikan mereka dengan Uthman Affan."
Setelah itu, Ruqayah mendapat pasangan yang lebih baik iaitu Uthman Affan dan kemudian selepas Ruqayah wafat, beliau kemudiannya menikah dengan Ummu Kalthum.
Disebabkan itulah, Uthman diberi julukan Dzunnurain yang bermaksud mempunyai dua cahaya. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram