KENYATAAN provokasi Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Dr P Ramasamy berkaitan isu anak mualaf di Perlis mendapat kecaman daripada pelbagai pihak.
Ramasamy dalam satu portal tempatan dipetik berkata, polis perlu menyiasat dakwaan seorang ibu mengatakan pihak berkuasa agama Perlis telah 'menculik dan menukar agama' tiga anaknya yang masih kecil.
Pemimpin DAP itu mengeluarkan kenyataan tersebut berikutan dakwaan yang dibuat oleh seorang ibu yang mendakwa, Jabatan Agama di Perlis telah menukar status agama bagi tiga orang anaknya tanpa kebenaran beliau.
Tidak berdiam diri, Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan Ramasamy memainkan api perkauman, seperti yang sering dibangkitkan pemimpin DAP itu termasuk isu-isu seperti Dr Zakir Naik.
"Saya sebutkan beberapa kali kepada kerajaan bahawa individu Ramasamy ini adalah individu yang kita amat bimbang kewujudannya dalam negara ini.
"Termasuk beberapa tokoh-tokoh DAP lain yang kita tahu masa zaman mereka berkuasa sebelum ini bukan main ‘sakan’ mereka.
"Dia (Ramasamy) bangkitkan padahal kalau dia mahu boleh semak dan hubungi. Tapi mereka buat tuduhan dan bangkitkan isu perkauman serta agama. Kononnya culik..perkataan culik dia guna..macam seolah-olah paksa masuk Islam," katanya.
Tambahnya, kenyataan Ramasamy memang menyakitkan hati bagi satu masyarakat yang harmoni kerana cara, bahasa, percakapan dan sikapnya sentiasa menunjukkan permusuhan dengan masyarakat Islam.
Menyifatkan perkara itu berbaur provokasi, Ahmad Fadhil Mohamad berkata, tuduhan 'menculik dan memaksa' adalah suatu yang berat, tambahan pula ia berkaitan dengan akidah umat Islam.
Ketua Pemuda PAS itu berkata, P Ramasamy selaku pimpinan di peringkat negeri Pulau Pinang tidak wajar mengeluarkan kenyataan yang boleh mencemarkan keharmonian kaum.
"Justeru, Dewan Pemuda PAS Kawasan Larut menegaskan kepada semua pihak agar memahami serta menghormati akan hak dan sensitiviti penganut-penganut agama di Malaysia.
"Jangan ada mana-mana pihak yang sengaja mencetuskan provokasi ke atas mana-mana institusi atau badan agama di negara ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Terdahulu, Mohd Asri mengesahkan, tiga kanak-kanak berumur antara 10 hingga 14 tahun sah memeluk Islam namun ibu mereka, Loh Siew Hong telah membuat laporan polis bagi meminta kepulangan anaknya yang didakwa ditahan seorang pendakwah wanita dari sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mualaf di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.
Siew Hong mendakwa telah berpisah dengan suaminya, Nagahswaran yang berbangsa India sejak Mac 2019 dan kemudiannya berpisah daripada anak-anaknya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram