Didik diri hidup solat malam antara amalan bulan Rejab


  • Mukmin
  • Jumaat, 04 Feb 2022

UMAT Islam juga disarankan untuk memperbanyak dan memperbetul bacaan al-Quran ketika bulan Rejab. — Gambar hiasan

BULAN Rejab yang hadir ketika ini menandakan umat Islam sedang menuju bulan Ramadan al-Mubarak.

Meskipun tiada hadis sahih berkenaan bulan Rejab secara khusus, umat Islam boleh memperbanyakkan amal soleh bagi meraih kelebihan bulan Rejab sebagai bulan haram serta sebagai persiapan menuju bulan Ramadan.

Firman ALLAH SWT: "Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi ALLAH adalah dua belas bulan, dalam ketetapan ALLAH di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu, dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya, sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya ALLAH berserta orang-orang yang bertakwa," Surah al-Taubah:36

Sabda Nabi Muhammad SAW: "Waktu berputar sebagaimana keadaannya ketika ALLAH SWT menciptakan langit dan bumi. Satu tahun terdiri daripada dua belas bulan, daripadanya terdapat empat bulan haram (suci) iaitu tiga daripadanya mengikut turutan (Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram) dan yang keempat adalah Rejab terletak antara Jamadilakhir dan Syaaban," Hadis Riwayat al-Bukhari

Pendakwah bebas, Asma' Harun berkata, antara amalan yang boleh dilakukan ketika bulan Rejab adalah dengan memperbanyakkan dan memperbetulkan bacaan al-Quran, memperbanyakkan puasa sunat seperti pada hari Isnin, Khamis dan Hari Putih, serta mendidik diri menghidupkan solat malam.

"Selain itu, umat Islam pada bulan Rejab juga disaran untuk memperbanyakkan berdoa, berzikir dan bersedekah.

"Malah, kaum wanita juga disyorkan untuk menghabiskan puasa ganti bagi yang belum habis menggantikan puasa, selain meninggalkan perkara yang tidak berfaedah," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

Mengulas lanjut, Asma' Harun berkata, terdapat satu doa yang boleh diamalkan apabila menjelangnya bulan Rejab dan Syaaban.

"Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Rejab dan Syaaban, dan sampaikanlah kami kepada bulan Ramadan," Hadis riwayat al-Tabrani dan al-Baihaqi

Asma' Harun berkata, meskipun riwayat hadis itu dhaif, namun umat Islam dibenarkan untuk beramal dengannya.

Beliau berkata, para ulama membenarkan untuk beramal dengan hadis dhaif dalam bab fadhail a'mal atau kelebihan-kelebihan amalan, selagi mana hadis tersebut tidak sampai ke tahap dhaif yang lebih berat.

"Dalam masa yang sama, seseorang itu hendaklah tidak beri’tiqad (berpegang) bahawa hadis itu sabit yang menunjukkan kelebihan bulan tersebut.

"Semoga dengan persediaan yang kita lakukan ini, ALLAH SWT memberikan lagi kesempatan dan rezeki kepada kita untuk melalui bulan Ramadan al-Mubarak dan memperoleh kebaikan daripadanya," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram