KEHADIRAN Tahun Baharu membuatkan ada individu yang berharap agar mereka mendapat kehidupan baharu setelah dugaan yang dihadapi sebelum ini.
Pada masa sama, ada yang berkongsi perkara yang menggusarkan hati ketika permulaan tahun ini.
Pendakwah bebas, Asma' Harun berkata, sebahagian orang diuji dengan kematian insan tersayang, masalah kewangan, kesihatan, hubungan suami isteri, masalah tempat kerja dan pelbagai lagi.
"Rasa lelah, ingin mengalah, hampir rebah, bahkan kadang timbul rasa menyerah kalah kerana ujian yang diterima terlalu berat.
"Namun, kerana ujian itu tanda ALLAH Mengasihi, maka memadailah itu sebagai pemujuk hati," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Daripada Anas Malik RA. Rasulullah SAW bersabda:"Sesungguhnya besarnya balasan bergantung pada berapa besarnya ujian, dan apabila ALLAH cinta kepada sesuatu kaum, Dia akan menguji mereka. Barangsiapa yang reda maka baginya keredaan ALLAH, namun barangsiapa yang murka maka baginya kemurkaan ALLAH." — Hadis Riwayat Tirmizi
Justeru, Asma' Harun mengajak orang ramai supaya membuka lembaran baharu dalam hidup mereka.
Beliau berkata, ujian akan tetap silih berganti sehingga mati, namun orang ramai dinasihatkan supaya tidak bersedih terlalu lama pada masa yang berharga ketika ini.
"Ujian berbentuk keluarga, harta dan kerjaya banyak membebankan emosi serta fizikal.
"Tetapi ujian yang melibatkan rohani, hubungan dengan ALLAH SWT pasti membebankan iman.
"Pohonlah kepada ALLAH Ya Wali, yang Maha Memelihara supaya kita sentiasa diberi rahmat dan keampunan, sekalipun kita banyak berdosa kepada-Nya.
Firman ALLAH SWT: "Katakanlah, “Wahai hamba-hamba-Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri. Janganlah kamu berputus asa dari rahmat ALLAH. Sesungguhnya ALLAH mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang." — Surah Az-Zumar 39: 53
Tambah Asma' Harun, ALLAH SWT sentiasa memberi peluang kepada hamba-Nya untuk kembali kepada-Nya, tidak kira sebanyak mana pun kesilapan mereka.
"Jangan berputus asa dengan rahmat ALLAH. Orang yang tinggi kebergantungannya kepada ALLAH akan terasa tenang melalui segala ujian.
"Kerana dia sedar, tidak mungkin dirinya lemah sedangkan dia bertuhankan ALLAH yang Maha Kuat," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram