Kehilangan keluarga antara pengorbanan hijrah


  • Mukmin
  • Selasa, 15 Feb 2022

ALLAH SWT akan menggantikan pengorbanan dengan kemanisan iman. — Gambar hiasan/Agensi

RAMAI orang mahu berubah ke arah kebaikan kerana sudah terlalu lama buat dosa dan maksiat.

Sehingga suatu ketika hati rasa kosong, namun bagaimana caranya agar tidak lagi terperangkap dalam muslihat syaitan itu?

Sebuah hadis daripada Nu’man bin Basyir r.a. berkata, beliau mendengar Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging. Jika ia baik, maka baiklah seluruh jasadnya dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh jasadnya. Ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung)" (HR al-Bukhari, no. hadis 52 dan Muslim, no. hadis 1599, status: hadis sahih)

Asma Harun menerusi satu posting di Facebook berkata, melakukan penghijrahan salah satu untuk berubah ke arah lebih baik walaupun sedikit demi sedikit.

Tambahnya, penghijrahan sememangnya memerlukan pengorbanan dan apabila seseorang insan itu memilih untuk melakukan hijrah, maka pelbagai ujian akan dihadapi seperti hilang kawan-kawan, keluarga serta harta.

Namun, ALLAH SWT akan mengganti kehilangan itu dengan kemanisan iman dan perkara tersebut selaras dengan sabda Rasulullah SAW:

“Daripada Anas bin Malik r.a., Nabi SAW bersabda: Tiga perkara yang apabila ada pada diri seseorang, ia akan mendapatkan manisnya iman: (1) Dijadikannya Allah dan Rasul-Nya lebih dicintainya dari selain keduanya. (2) Jika ia mencintai seseorang, dia tidak mencintainya kecuali kerana ALLAH dan (3) dia benci kembali kepada kekufuran seperti dia benci bila dilempar ke neraka.” (HR al-Bukhari, no. 15, status: hadis sahih)

"Subhanallah. Beruntunglah bagi mereka yang dapat merasai kemanisan iman kerana hatinya sentiasa bahagia apabila melaksanakan ketaatan dan meninggalkan kemungkaran," katanya.

Dalam pada itu, pendakwah terkenal itu juga sempat mengingatkan untuk istiqamah dalam menjaga hati ketika dalam proses penghijrahan dan tetapkan niat berubah kerana ALLAH SWT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram