Hati bersih sentiasa memaafkan, bersangka baik


  • Mukmin
  • Isnin, 10 Jan 2022

UMAT Islam disarankan mendoakan kebaikan sekiranya melihat orang sekeliling sama ada aib atau kelebihan. — Gambar hiasan

HATI yang bersih itu adalah hati yang sentiasa memaafkan dan bersangka baik sesama manusia, kata Asma' Harun.

Pendakwah bebas itu berkata, hati juga penentu amalan kita di dunia dan sebagai manusia kita mudah berburuk sangka kepada orang lain termasuk mudah marah dan menyimpan perasaan dendam.

"Hati kita mudah iri hati, dengan orang lain," katanya menerusi hantaran di laman Facebook.

ALLAH SWT berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.

"Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada ALLAH; sesungguhnya ALLAH Penerima taubat, lagi Maha mengasihani,"Surah al-Hujurat 49: 12

Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH tidak melihat kepada rupa dan harta kalian, tetapi ALLAH melihat kepada hati dan amal kalian,"Hadis Riwayat Muslim

Justeru, Asma' Harun berkata, umat Islam perlu bermuhasabah bersama-sama dan mengubah cara berfikir.

Beliau berkata, sekiranya melihat orang sekeliling sama ada aib atau kelebihan, umat Islam juga disarankan untuk mendoakan kebaikan buat mereka.

"Ini salah satu cara untuk membersihkan hati.

"Semoga kita semua dikurniakan hati yang bersih dan pergi menghadapNya kelak dalam keadaan ALLAH reda," katanya.

Daripada Nu’man bin Basyir, Rasulullah SAW bersabda: "Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia adalah hati (jantung)," Hadis Riwayat Bukhari Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram