Hubungan adik-beradik dua nabi jadi contoh


  • Mukmin
  • Khamis, 10 Feb 2022

ALANGKAH baik sekiranya adik-beradik itu saling mendoakan kebaikan dan keampunan sesama mereka agar semuanya sentiasa berada di dalam rahmat ALLAH SWT. — Gambar hiasan/Agensi

SALAH satu perkara yang boleh umat Islam pelajari daripada kisah-kisah al-Quran adalah mendoakan adik-beradik sendiri.

Dr Ahmad Sanusi Azmi berkata, perkara itu dapat dilihat apabila Nabi Musa AS mendoakan abangnya, Nabi Harun AS.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, hubungan antara abang dan adik itu adalah antara perkara yang menarik untuk diterokai dan digambarkan di dalam al-Quran, sebagai adik-beradik yang saling bantu-membantu antara satu sama lain dalam usaha dakwah.

Tambahnya, Nabi Musa AS dan Nabi Harun AS memiliki dua karakter berbeza yang ditampilkan di dalam al-Quran, yang mana Nabi Musa AS bersifat keras manakala Nabi Harun AS bersifat lembut.

"Ini dapat dilihat daripada peristiwa yang berlaku setelah kaum mereka menyeleweng dari ajaran Islam. Nabi Musa memarahi abangnya Nabi Harun dengan menggenggam jangggut dan menarik rambutnya," katanya menerusi laman Telegram.

Sedangkan Nabi Harun AS membalas dengan baik dan berkata: "Wahai anak ibuku (Nabi Musa)! Janganlah engkau meragut janggutku dan janganlah menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku takut bahawa engkau akan berkata kepadaku: "Engkau telah memecah-belahkan kaum Bani lsrail sesama sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!" Surah Taha:94

Ahmad Sanusi berkata, Nabi Harun AS juga bersifat fasih, manakala Nabi Musa barangkali pertuturannya tidak berapa lancar.

Katanya, perkara itu diakui sendiri oleh Nabi Musa AS ketika meminta bantuan daripada ALLAH SWT supaya Dia mengutuskan Nabi Harun AS sebagai pembantunya kerana lebih fasih bertutur.

Kata Nabi Musa AS: "Dan saudaraku Harun, dia lebih fasih dari diriku,”Surah al-Qasas:34.

Mengulas lanjut, Ahmad Sanusi berkata, meskipun mempunyai karakter yang berbeza, dua beradik itu adalah pasangan yang ideal dalam berdakwah.

Katanya, ketika ALLAH SWT memerintahkan Nabi Musa AS untuk berdakwah kepada Firaun, beliau memohon supaya ALLAH SWT melantik Nabi Harun AS, sebagai pembantunya.

"Pelantikan Nabi Harun AS sebagai pembantu Nabi Musa AS ini disebut berulang-ulang kali di dalam al-Quran.

"Ia menggambarkan betapa besar peranan Nabi Harun AS sebagai pembantu misi dakwah tersebut.

Allah menceritakan dialog Musa ini di dalam al-Quran. Firman Allah: "Dan jadikanlah bagiku, seorang pembantu dari keluargaku. [30] Iaitu Harun saudaraku [31] Kuatkanlah pendirianku dengan sokongannya [32] Dan jadikanlah dia turut campur bertanggungjawab dalam urusanku [33] Supaya kami sentiasa beribadat dan memujiMu [34] Surah Taha: 30-34.

Tambah Ahmad Sanusi, bukan sahaja saling membantu, Nabi Musa AS turut direkodkan sebagai mendoakan keampunan buat abangnya.

“Wahai Tuhanku, ampunilah dosaku dan dosa saudaraku dan masukkanlah kami ke dalam syurga," — Surah al-A'raf:151

Melihat kepada doa itu, Ahmad Sanusi berkata, alangkah baik sekiranya adik-beradik itu saling mendoakan kebaikan dan keampunan sesama mereka agar semuanya sentiasa berada di dalam rahmat ALLAH SWT.

"Berapa ramai dalam kalangan kita yang mendoakan sesama adik-beradik sendiri?" soalnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram