KES jangkitan wabak Covid-19 yang semakin meningkat di negara ini merisaukan pelbagai pihak untuk melonggarkan sekatan pergerakan mereka.
Apatah lagi, ada yang masih tertanya-tanya sama ada peningkatan kes Covid-19 kali ini akan membenarkan mereka merentas negeri dan pulang beraya dalam tempoh tiga bulan akan datang.
Pada Isnin, jangkitan Covid-19 dalam negara meningkat sebanyak 11,304 kes baharu berbanding 10,089 kes pada Ahad.
Justeru, Dr Ahmad Sanusi menerusi laman Telegram mengajak orang ramai untuk sama-sama mengamalkan langkah pencegahan dengan melakukan kuarantin kendiri, bagi memutuskan rantaian penyebaran penyakit.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, Rasulullah SAW pernah menjelaskan kepada umat Islam mengenai kepatuhan Muslim kepada setiap langkah yang digariskan, untuk berdepan dengan suasana seperti ini akan menyebabkan mereka memperoleh ganjaran tidak ternilai.
Sabda Rasulullah SAW: "Tidak ada seorang pun yang ditimpa wabak Ta’un ini sedangkan dia duduk di dalam negeri tempatnya dengan penuh kesabaran dan bermuhasabah, dan dia faham bahawa tiada sesuatu yang menimpanya melainkan semuanya telah ditentukan oleh ALLAH SWT, melainkan dia akan mendapat pahala seperti pahala syahid," — Hadis Riwayat al-Bukhari
Ahmad Sanusi berkata, hadis itu menekankan aspek disiplin seorang Muslim ketika menghadapi suasana wabak.
Beliau berkata, Muslim seharusnya beriman bahawa wabak yang melanda itu adalah ketentuan daripada ALLAH SWT.
"Mereka seharusnya mampu mengawal diri mereka di rumah, bersabar atas segala ujian yang menimpa mereka serta meyakini bahawa tidak ada sesuatu pun yang berlaku melainkan atas ketentuan ALLAH," katanya.
Jelas beliau, ALLAH SWT menerusi ayat 32 dalam surah al-Maidah memuji tindakan Muslim yang berusaha menyelamatkan nyawa orang lain.
Beliau berkata, mereka yang berusaha menyelamatkan nyawa seseorang diibaratkan telah menyelamatkan nyawa seluruh manusia.
Tambahnya, tindakan mereka yang enggan mematuhi arahan dengan keluar sesuka hati bukan sahaja boleh menggagalkan rancangan kerajaan bagi mengawal wabak, bahkan berpotensi menjadi punca kepada kemudaratan orang lain.
Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menegaskan bahawa: "Barangsiapa yang memudaratkan orang lain, maka ALLAH SWT akan mendedahkan mudarat padanya. Barangsiapa yang menyusahkan orang lain, ALLAH boleh menyusahkan urusannya," — Hadis Riwayat al-Tirmizi
Ahmad Sanusi berkata, hadis itu jelas menunjukkan betapa ALLAH SWT tidak menyukai hamba-Nya yang mendedahkan kemudaratan kepada orang lain.
"Dengan itu mari bersama kita berusaha untuk mendisiplinkan diri mematuhi arahan pihak berkuasa.
"Kepatuhan kita menghayati serta mematuhi arahan ini mudah-mudahan dinilai sebagai amalan yang memberatkan neraca timbangan amal pahala kita di akhirat kelak," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram