Silap pilih kawan jadi penyesalan di akhirat


  • Mukmin
  • Ahad, 06 Feb 2022

PENDIRIAN seseorang adakalanya bergantung kepada pegangan agama sahabatnya juga. — Gambar hiasan/Agensi

DALAM al-Quran, ALLAH SWT mengingatkan kita mengingatkan kesilapan dalam memilih kawan akan menjadi penyesalan yang dahsyat di akhirat kelak.

Firman ALLAH SWT: "Wahai celakanya aku, alangkah baiknya kalau aku tidak mengambil si dia itu menjadi sahabat karib," Surah al-Furqan: 28

Atas dasar itulah, Rasulullah SAW mengingatkan orang ramai bahawa pendirian seseorang adakalanya bergantung kepada pegangan agama sahabatnya juga.

Rasulullah SAW bersabda: "Seorang lelaki itu (bergantung kepada pegangan) agama sahabatnya. Maka perhatikanlah dengan siapa kamu bersahabat,"Hadis Riwayat Ahmad

Justeru, Dr Ahmad Sanusi Azmi menerusi laman Telegram berkata, umat Islam disaran memilih sahabat yang boleh membimbing seseorang ke arah kebaikan.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu mengambil contoh Saidina Abu Bakar as-Siddiq, yang juga seorang sahabat yang soleh dan membimbing orang lain ke syurga.

"Tahukah kita bahawa Abu Bakar berjaya mengislamkan lima sahabat yang dijanjikan syurga. Lihat bagaimana persahabatan Abu Bakar dengan orang lain menyebabkan mereka dijamin ke syurga.

"Menurut Ibn Ishaq, dalam kalangan sepuluh orang sahabat yang dijamin akan memasuki syurga, separuh dari mereka (iaitu lima orang) telah beriman atas persahabatan dan usaha dakwah Abu Bakar.

"Mereka ialah: Uthman ibn Affan, al-Zubair ibn al-Awwam, Abd Rahman Auf, Saad Abi Waqas dan Talhah," katanya.

Ahmad Sanusi berkata, sahabat yang baik boleh membawa seseorang ke syurga, sebaliknya salah memilih sahabat akan menjadi penyesalan yang abadi di hari akhirat kelak.

"Semoga ALLAH SWT membimbing kita," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram