Contohi rutin harian Syeikh Solah


  • Mukmin
  • Khamis, 03 Feb 2022

BAGI Allahyarham Syeikh Solah, seorang pelajar tidak sepatutnya membiarkan masanya berlalu begitu sahaja tanpa sebarang amal yang bermanfaat buat diri. — Gambar hiasan

DUNIA Islam masih merasai kehilangan ulama Al-Quran, Syeikh Dr. Solah ‘Abd Al-Fattah Al-Khalidi Rahimahullah yang meninggal dunia pada 28 Januari lepas.

Menurut laman sesawang mypendidik.com, Syeikh Solah Rahimahullah sangat pakar dalam bidang tafsir, sirah nabawiyyah, ulum Al-Qur’an yang mana beliau telah banyak meninggalkan sejumlah karya ilmu.

syeikh

ALMARHUM Syeikh Solah Rahimahullah

Dengan keuzurannya dalam mengajar dan memberi ilmu, beliau tidak jemu untuk menyebarkan kealimannya pada anak-anak muda di Jordan dan mereka sering menjadi saksi perjuangannya yang penuh cabaran.

Dalam pada itu, memetik hantaran dari pengguna Facebook, Syuhadah Ainin yang berkongsi bahawa Syeikh Solah Rahimahullah sangat menitikberatkan soal penjadualan masa yang teratur, sekali gus boleh dicontohi dan diamalkan oleh penuntut ilmu.

"Bagi Syeikh, seorang pelajar tidak sepatutnya membiarkan masanya berlalu begitu sahaja tanpa sebarang amal yang bermanfaat buat diri.

"Beliau telah berkongsi satu contoh jadual harian yang sangat terperinci untuk diambil manfaat oleh para pembacanya yang juga merupakan rutin harian yang dilakukan sepanjang hayatnya," katanya.

Berikut merupakan rutin harian Syeikh Solah Rahimahullah yang dikongsi oleh Syuhadah Ainin berdasarkan kitab beliau iaitu Kitab Khittah Barraqah li zi An-nafs At-tawaqquh' (Perancangan yang strategik dan padu buat jiwa yang bersemangat);

1) Sebelum subuh

  • Menghabiskan masa dengan lapan rakaat solat Tahajud, tiga rakaat solat witir, doa qunut dan membaca satu juzuk mushaf al-Quran.

2) Sewaktu subuh

  • Mengerjakan sunat sebelum subuh, membaca Al-Quran, membanyakkan selawat dan tasbih kepada ALLAH SWT, membaca al-Mathurat.

3) Selepas terbitnya matahari

  • Menyibukkan diri dengan ilmu, tidak menyambung kembali tidur dan seboleh-bolehnya melazimkan solat sunat Dhuha.

4) Sewaktu bekerja atau belajar

  • Bekerja secara bersungguh-sungguh, tidak berkelakuan malas dalam tugasan dan tidak mengambil hak kerja atas urusan peribadi yang mampu diselesaikan di luar waktu kerja.

5) Qailulah

  • Qailulah ialah tidur sebentar pada siang hari dan waktu yang digalakkan ialah pada waktu paling baik ialah antara pukul 12 tengahari sehingga sebelum Zohor.
  • Melakukan qailulah amat penting bagi seorang penuntut ilmu kerana pada pagi hari mereka telah menyibukkan diri dengan ibadah dan penuntut ilmu boleh ambil masa sekurang-kurangnya 30 minit untuk mengisi semula tenaga.

6) Selepas Asar

  • Peruntukkan pada waktu Asar untuk bersosial dengan masyarakat seperti mendengar isi hati masyarakat dan berbicarakan perkara ilmiah.

7) Selepas Maghrib

  • Melapangkan waktu untuk bertalaqqi, mendengar kuliah agama, bertadarrus, bertadabbur dan membaca hadis Nabi SAW.
  • Talaqqi adalah perkataan arab yang berasal daripada kalimah laqia yang mana membawa maksud berjumpa dan penuntut ilmu digalakkan untuk berjumpa dengan guru untuk belajar dari mereka.

8) Selepas Isyak

  • Kembali menfokuskan diri untuk menambah ilmu dan menyusun jadual harian untuk hari seterusnya.

9) Sebelum tidur

  • Berwuduk, melakukan qiamullail dan bermuhasabah akan perbuatan yang dilakukan pada keseluruhan hari.

Semoga rutin harian yang dikongsikan oleh Syeikh Solah Rahimahullah dapat diamalkan oleh umat Islam khususnya para pelajar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram