Kisah kematian dicemburui


  • Mukmin
  • Isnin, 31 Jan 2022

YASAR al-Habshi adalah antara sahabat Rasulullah SAW, yang memeluk Islam ketika menyertai misi perang dan syahid tanpa pernah menunaikan solat. — Gambar hiasan

TIADA anugerah yang lebih indah daripada dikurniakan pengakhiran atau kematian yang baik.

Maka, sekiranya seseorang Muslim dianugerahkan dengan pengakhiran yang baik, diharapkan mereka dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan yang baik bersama pada nabi dan orang soleh.

Rasulullah SAW bersabda: "Setiap manusia akan dibangkit dalam keadaan bagaimana dia meninggal,"Hadis Riwayat Muslim

Ahmad Sanusi Azmi berkata, terdapat beberapa riwayat kematian para sahabat yang dicemburui oleh manusia lain, yang mana mereka adalah manusia yang dikurniakan ALLAH SWT kematian yang baik meskipun dengan amalan yang sangat sedikit.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) berkata, antara individu tersebut adalah Amru Thabit al-Ansari yang lebih dikenali Usairim Bani Abd al-Asyhal.

Katanya, beliau pada awalnya enggan memeluk Islam pada era awal Madinah sehingga berlakunya Perang Uhud.

"Amru lantas menyertai Perang Uhud lalu cedera dan syahid atas perjuangan beliau," katanya menerusi laman Telegram.

Abu Hurairah RA berkata: "Beliau (Amru) menerima anugerah syahid dan masuk syurga dalam keadaan tidak pernah menunaikan solat walau sekali pun,"Hadis Riwayat Abu Daud

Selain itu, Ahmad Sanusi berkata, Yasar al-Habshi yang juga sahabat Rasulullah SAW memeluk Islam ketika berlakunya Perang Khaibar.

Katanya, beliau lantas menyertai misi perang itu dan syahid tanpa pernah menunaikan satu rakaat solat.

"Kisah beliau ini dinukilkan oleh al-Imam Ibn al-Qayyim yang menyebutkan keadaan kematian beliau," katanya.

Tambah Ahmad Sanusi, mereka adalah kumpulan manusia yang terpilih, yang dikurniakan oleh ALLAH SWT anugerah kematian yang hebat meskipun dengan amalan yang sedikit.

Katanya, perihal kematian yang baik ini turut menjadi Rasulullah SAW, yang mana Baginda SAW berdoa agar dikurniakan kematian dalam keadaan seorang Muslim.

Doa yang diamalkan oleh Baginda Nabi SAW: "Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan seorang Muslim, kurniakanlah kami kehidupan seorang Muslim, dan kumpulkanlah kami bersama para solihin,"Hadis Riwayat al-Bukhari Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram