SESEORANG manusia itu pastinya tidak dapat mengurus dan mengawal sesuatu perkara itu seorang diri dan sebenarnya banyak perkara yang berlaku di luar kawalan kita.
Tidak dapat dinafikan ada masanya kita rasa ingin berputus asa dan ada juga waktunya kita perlukan kekuatan untuk bertahan, namun untuk kumpulkan kekuatan itu bagi seseorang Muslim doa adalah senjata.
Doa merupakan senjata, sumber kekuatan dan harapan untuk mengapai kebahagiaan di dunia dan akhirat, oleh itu seseorang Muslim perlu yakin dalam berdoa agar ALLAH SWT permudahkan untuk menyelesaikan setiap persoalan di dalam kehidupannya.
Menjelaskan mengenai keyakinan dalam berdoa, Dr Ahmad Sanusi mengajak untuk mencontohi kisah Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria ketika memohon kepada ALLAH SWT agar dikurniakan anak dengan usia mereka terlalu tua.
"Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria menutup doa mereka dengan ayat yang menunjukkan keyakinan mereka bahawa ALLAH Maha Mendengar doa mereka itu.
"Keyakinan mereka terhadap doa dan hubungan dengan ALLAH ini akhirnya membuahkan hasil apabila ALLAH kurniakan anak kepada mereka," katanya menerusi laman Telegramnya.
Tambah Sanusi, Nabi Ibrahim dan Nabi Zakaria bahkan mempersoalkan mengapa mereka diberikan cahaya mata dengan umur mereka yang tua.
"Dalam dialog mereka yang bermaksud. Kata Nabi Zakaria: "Dia berkata: Wahai Tuhanku bagaimana mungkin aku dikurniakan anak sedangkan aku sudah tua dan isteriku tidak boleh mengandung." (Surah Ali Imran: 40)," katanya.
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Quran Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) itu berkata, doa kedua orang Nabi itu mendidik manusia bagaimana ALLAH berupaya memberikan rezeki pada seseorang walaupun dalam keadaan yang tidak kita sangkakan.
"Pusatkan keyakinan kepada ALLAH dalam doa kita," katanya.
Dalam pada itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dalam laman sesawangnya berkata, antara adab dalam berdoa ialah seseorang itu perlulah meminta kepada ALLAH SWT dalam keadaan dirinya bersangka baik dengan-Nya agar permintaan itu dimustajabkan.
"Itu berdasarkan firman ALLAH SWT yang bermaksud: '"esungguhnya mereka itu (para Nabi) sentiasa bersegera dalam melakukan perkara kebaikan. Dan mereka berdoa kepada Kami dalam keadaan penuh harap dan rasa takut'.(Surah al-Anbiya’: 90)," kata agensi itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram