DALAM Islam, manusia bukan sahaja perlu berlaku adil, namun juga perlu dilihat sebagai adil, kata Emran Ahmad.
Menerusi laman Facebook, pendakwah itu berkata, perkara itu bermaksud umat Islam perlu menjaga nama baik, maruah dan harga diri supaya tidak tercemar oleh skandal, fitnah dan tuduhan yang boleh menggugat krediliti mereka.
Beliau berkata, seorang pegawai kerajaan yang mempunyai gaji, menerima elaun dan faedah dan kakitangan awam tidak boleh menerima hadiah, terlibat dengan perniagaan yang boleh menjejaskan kepentingan awam dan kedudukannya.
Rasulullah SAW bersabda: "... hadiah kepada pegawai yang sudah menerima gaji adalah suatu pengkhianatan," — Hadis Riwayat Ahmad
Terdahulu, nama Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sejak seminggu lalu diheret kontroversi berikutan dakwaan beliau memiliki antara 1.9 juta hingga 2.9 juta saham dalam Gets Global Bhd pada 2016.
Bagaimanapun, pada satu sidang media khas, Azam menafikan sebarang salah laku dan mengatakan adiknya menggunakan akaun sistem depositori pusat (CDS) miliknya untuk memperoleh saham itu.
Mengulas lanjut, Emran berkata, SPRM sebagai institusi penting kerajaan telah dilihat gagal menjaga amanah dan kepercayaan rakyat sebagai badan, yang sepatutnya mempunyai integriti tertinggi, bagi membasmi rasuah dan aktiviti khianat.
Tambahnya, amat menyedihkan apabila mereka yang curang dan khianat terhadap amanah ini adalah pemimpin dan pegawai atasan yang beragama Islam dan berbangsa Melayu.
Rasulullah SAW bersabda: "... jika amanah disia-siakan, maka nantikanlah saat kehancuran atau kiamat," — Hadis Riwayat Al-Bukhari
Justeru, Emran berkata, rakyat berhak mendapat penjelasan terperinci berkaitan skandal yang menimpa SPRM, selain menuntut keadilan dan ketelusan dalam operasi institusi itu.
"Malaysia akan benar-benar menuju kebinasaan jika institusi SPRM dan polis sudah tidak lagi boleh dipercayai," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram